Penganjur konsert, Kharisma Music International tampil menepis dakwaan penyanyi, Aisha Retno yang kononnya dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan atau pembatalan Konsert Aisha Retno Malam Sutera yang sepatutnya berlangsung pada 16 November lalu.
Penyanyi yang juga penganjur konsert, Yuka Kharisma sebaliknya menjelaskan pihaknya dan Aisha Retno Entertainment (ARE) pernah bertemu bagi membincangkan hala tuju persembahan itu susulan jualan tiket yang kurang memberangsangkan.
“Sekitar September 2024, terdapat beberapa perjumpaan diadakan di antara pihak Kharisma Music International dan Aisha Retno Entertainment bagi membincangkan hala tuju konsert tersebut.
“Dalam pertemuan tersebut, pihak mereka telah dimaklumkan bahawa setakat tarikh perjumpaan, jumlah tiket yang terjual hanya lebih kurang 98 tiket manakala 100 tiket diperuntukkan untuk pihak media daripada 2,414 tiket ditawarkan.
“Disebabkan penjualan tiket tidak memberangsangkan dan tidak mencapai sasaran, pihak penganjur memaklumkan kepada ARE konsert harus ditangguh atau dibatalkan bagi mengelakkan kerugian,” katanya, lapor mStar.
Yuka menjelaskan perkara itu menerusi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Rabu yang turut dihadiri oleh peguam Kharisma Music International iaitu Tuan Muhammad Arief Tuan Mohamad Yusof.
View this post on Instagram
Menerusi sidang media sama, Yuka juga menyangkal dakwaan pihaknya tidak melakukan seberang kerja-kerja promosi konsert tersebut.
“Sebagai penganjur kami sudah membuat promosi menerusi ‘ads’ namun kita juga sangat terbatas dan kita minta (Aisha) satu video, ia memakan masa hampir dua bulan. Artis juga memainkan peranan yang besar untuk sebuah konsert.
“Ini bukan konsert pertama saya, sudah banyak yang saya anjurkan dan artis memainkan peranan penting untuk menjayakan konsert tersebut dan juga promosi.
“Kalau kata kita kurang promosi kena tanya juga bagi pihak artis, adakah anda sudah buat banyak promosi di sosial media anda?,” katanya lagi.
Sementara itu, Yuka menjelaskan penganjuran konsert itu juga sebagai cagaran Aisha membayar semula wang dipinjam sebanyak RM83,000 ketika menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac lalu.
Yuka mendedahkan wang itu diberikan kepada Aisha bagi membantunya menjayakan persembahan selepas mengalami kekurangan dana dan meminta penyanyi berkenaan membayar semula wang tersebut.
Setakat ini jelas Yuka, pihak Aisha menerusi Aisha Retno Entertainment (ARE) baru membuat pembayaran sebanyak RM6,000 dan baki RM77,000 belum dilunaskan.
“Pada Januari 2024, pihak Aisha Retno Entertainment (ARE) ada menyatakan kesukaran mereka mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL38 yang berlangsung pada Mac lalu.
“Mereka memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahan di pentas AJL38.
“Kami telah berikan Aisha lebih kurang RM83,000 untuk persiapan Aisha dan setakat ini dia hanya membayar RM6,000 sahaja,” katanya.
Pada 9 November lalu, Kharisma Music International menerusi Instagram mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November di Zepp Kuala Lumpur dibatalkan kerana jualan tiket rendah.
Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, kemudiannya turut memberikan reaksinya berhubung pembatalan konsert solonya menerusi media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber: mStar
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI