“I Macam Kecewa Gila, Sebab I Pernah Jumpa Dia,” – King Coco Kesal

Share

Pempengaruh, King Coco atau nama sebenarnya, Marshaira Ismail meluahkan rasa kesal selepas video yang merakamkan seorang wanita sedang memarahi dan memukul budak tular di media sosial sejak awal pagi Jumaat.

Menurut Coco, dia kecewa dengan tindakan tersebut selain mendakwa mengenali pelaku.

Perkongsian tersebut dikongsikan ibu kepada dua cahaya mata ini menerusi beberapa status yang dimuat naik di Insta Stories pada Jumaat.

“Allahuakbar saya kenal individu di dalam (video) ini. Subhanallah macam tak percaya,” tulisnya.

“I macam kecewa gila, sebab i pernah jumpa dia. Dia baik sangat, even bukan dengan i je baik. Dia baik dengan bekas anak tiri i juga that time.

“We all jumpa sebab dia nak discuss business dengan i. But i swear to God, i tak sangka,” luah Coco di dalam perkongsian seterusnya.

Coco pada masa sama mendedahkan, pelaku pernah menyifatkan hidupnya berseri dengan kehadiran kanak-kanak berkenaan di sisinya.

“Shes even said to me, yang dia kena dengan orang. Tapi dia tak balas. Biarlah Allah yang buat semua.

“I felt like macam ‘wahh baik ya dia.’ Lepas tu i ada nampak, dia update WhatsApp status dia sayang budak tu, budak tu penyeri rumah dia.

“Shium shium (cium) budak tu, budak tu pun nampak sayang kat dia. But i tak tahulah… i heartbroken,” tulisnya lagi.

Sementara itu, mStar memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan dua individu yang dikaitkan dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, mangsa juga telah diselamatkan selepas pihaknya menerima satu laporan pada awal pagi Jumaat.

“Pada 22 Julai 2022 jam 12.14 tengah malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima satu laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak dan satu siasatan telah dijalankan.

“Selepas menerima laporan berkenaan, Polis Kajang pada 22 Julai 2022 jam 2.30 pagi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura di sebuah rumah di taman perumahan Beranang, Selangor.

“Suspek berumur lingkungan 28 hingga 30-an. Tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 Julai 2022. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa kanak-kanak tersebut untuk makan sehingga termuntah.

Mangsa kanak-kanak yang dikatakan hyper-aktif berusia anggaran empat tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia yang mana kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya. Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api,” ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rsmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
MH