Tiada pengubat bagi kerinduan paling dalam kepada ibunda yang telah pergi.

Jelas anak pengasas produk kecantikan Dnars iaitu Iqbar Hakim Jasman ini, setiap kali kerinduan datang menerpa, hanya foto dan memori teks perbualannya bersama arwah ibu jadi pengubat rindu.

“Setiap kali rindu arwah, saya hanya mampu tengok gambar dan sedekahkan Al-Fatihah. Mesej saya dengan arwah sehingga hari ini saya simpan sebab banyak pesanan di dalamnya.

“Walaupun jasadnya sudah tiada, namun jiwa ibu dalam jiwa saya,” jelasnya kepada MH.

Sementara itu, Lelaki berusia 22 tahun ini sempat imbau kenangan sewaktu kecil di mana dia dan arwah hidup susah senang senang bersama.

Malah, memori kereta ditarik dan tiada wang untuk membayar sewa rumah cukup kuat terpahat di ingatan.

IKLAN

“Arwah ibu bukan berasal daripada orang senang dan saya sendiri sempat merasai kesusahan bersamanya. Bagi arwah, membesarkan saya bukanlah satu tugas mudah dengan keadaan rumah tangga yang retak, besarkan saya sebagai ibu tunggal, kereta kena tarik, tak ada duit bayar cukai jalan, tak dapat bayar sewa rumah.

“Tetapi ibu tetap kuat kerana anak-anak. Selepas ibu berjumpa dengan ayah tiri, Tuan Haji Rizal, waktu itu mereka sama-sama bina perniagaan dan syukur berjaya sehingga ke hari ini,” katanya.

Usahawan muda ini bercerita ketika ditemui pada majlis minum petang Top Beauty Entrepreneur 2020 bersama majalah Nona di Mercu Mustapha Kamal, pada Selasa.

Biarpun masih terlalu mentah dalam dunia perniagaan, namun berkat didikan arwah yang sering ‘mengheret’nya ke hulu ke hilir demi memberi pendedahan, anak sulung daripada lapan beradik itu kini lebih yakin terajui legasi bisnes ibunya.

“Sejak dahulu ibu selalu heret saya untuk fahami selok belok dunia perniagaan kosmetik. Jujurnya saya tidak minat, saya memang minat berniaga tapi bukan dalam bidang kosmetik.

“Hakikatnya, jalan yang Allah tetapkan cukup cantik. Dalam masa setahun dia ajar saya dan harus akur, di sinilah cerita saya selepas ibu meninggal dunia.

“Alhamdulillah adik-adik semua memahami. Cuma adik-adik yang besar agak sukar kerana mereka sedang membesar lebih-lebih lagi adik perempuan.

“Nak jaga adik perempuan bukan senang, dan bila orang tanya bila saya nak kahwin, jawapan saya, tunggu adik perempuan saya kahwin dulu,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Iqbar menerima pengiktirafan Inspirasi Nona Beauty Award bagi pihak arwah ibunya, arwah Faziani Rohban Ahmad di majlis berkenaan.

Foto : Instagram Nona