Finalis Hero Remaja 2020, Haziq Nazimuddin selesa digelar ‘Flower Boy’ kerana mempunyai kisah unik di sebalik panggilan tersebut.
Anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini berkata, minat yang mendalam terhadap mengubah bunga-bungaan menjadi satu kelebihan dalam dirinya.
“Saya pernah beri teman istimewa sejambak bunga kira-kira tiga tahun lalu. Namun, hubungan kami hanya bertahan selama satu tahun sahaja dan dari situ tercetusnya inspirasi untuk saya menjalankan perniagaan mengubah bunga.
“Saya juga berterima kasih kepada ‘si dia’ kerana hadir dalam hidup saya dan membuka mata saya untuk mencetuskan perniagaan mengubah bunga ini.
“Ia sekali gus, memberi peluang terbaik bagi saya untuk menonjolkan sisi lain yang ada pada saya,” katanya ketika dihubungi.
Mengusahakan perniagaan bersama lima orang rakan sekerja, jejaka berusia 23 tahun ini akui berbangga dengan kebolehannya sendiri.
“Kalau kita tengok setakat ini, tidak ada lagi artis lelaki yang pandai gubah bunga dan saya berbangga dengan diri saya kerana berjaya mengubah lebih 300 jambak bunga atas permintaan ramai setakat ini.
“Ia juga merupakan sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.
Berkongsi lebih mendalam, Haziq juga pernah mengubah bunga untuk majlis resepsi pelakon Raja Ilya dan Final Dewi Remaja 2019.
“Perkara saya tak boleh lupakan adalah saya pernah menaja tujuh jambak bunga untuk Final Dewi Remaja 2019 ketika pengumuman pemenang dan majlis perkahwinan Raja Ilya pada September 2019 di Magica Grand Hall, Star Avenue, Subang,” kongsinya yang mempunyai perancangan untuk membuka kedai bunga sendiri.
Dalam perkembangan lain, Haziq bersama finalis lain antaranya Meerqeen,Jabir, Nadhir dan Umar bakal berentap di pentas akhir pada 16 Julai ini.
Foto : Instagram Byflowerboy
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI