Hiburan

“Kisahnya, Saya & Isteri Di Hospital Untuk…,” – Loghat Perak Pekat Sangat, Ryan Bakery Nafi Sebut ‘Gila’ Pada Anak

Share

Personaliti media sosial, Ryan Bakery menafikan dia ada memanggil anaknya ‘gila’ di dalam sebuah video di Instagram Stories seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

Menurut Ryan atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, insiden tersebut hanyalah salah faham kerana apa yang diperkatakannya di dalam video tersebut kurang jelas.

“Kisahnya, saya dan isteri sedang berada di hospital untuk pemeriksaan anak. Ketika itu, saya sedang bermain dengan anak sebab dia sedang meragam.

“Dia tak nak dengan saya tapi dengan ibunya, dia diam pula. Kemudian, anak minum susu sambil tengok saya. Saya pun berseloroh kata, ‘minum ajeler, tengok-tengok pula’.

“Cara saya cakap itu laju dan orang ingat saya kata ‘minum giler’. ‘Minum ajeler’ ni memang loghat Perak,” katanya kepada MH.

Ryan berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music & FYP Media di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada Rabu.

Jelasnya lagi, dia harus membuat penjelasan berhubung isu tersebut kerana bimbang ia akan menjadi isu yang lebih besar.

“Pasa saya, ia merupakan salah tafsiran dan pendengaran. Saya pun terkejut bila ramai sangat yang menonton IG stories saya ketika itu.

“Bila buka ruangan DM, tiba-tiba saya dapat banyak mesej yang hentam saya kerana mengatakan anak gila.

“Kemudian, pengurus saya kata, tak perlu layan. Namun, saya rasa saya tak boleh diam sahaja. Kena jelaskan juga.

“Kalau tersebar di Facebook lagi teruk nanti. Saya pula memang tiada akaun FB. Yang ada semua itu akaun palsu. Kalau tak jelaskan, saya juga sakit nanti,” ujarnya lagi.

Malah dia juga tidak berasa hati kerana insiden seperti itu tidak disengajakan.

“Bahaya juga bila salah dengar ini. Kena berhati-hati ketika bercakap depan kamera. Namun, saya faham ia hanyalah salah faham.

“Loghat itu tidak salah tapi kena cakap dengan jelas. Loghat Perak saya memang pekat. Sudah duduk di Kuala Lumpur pun masih cakap loghat Perak,” akhirinya.

Terdahulu, Ryan dan isteri, Elyia Ibrahim baru sahaja dikurniakan anak sulung pada tanggal 30 Disember lalu dan telah diberi nama Ryan Ezra.

Untuk rekod, Ryan dan Elyia telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf