Penyanyi, Kaka Azraff menyeru semua pihak termasuk golongan selebriti dan pempengaruh untuk terus bersuara dan memberikan tekanan ke atas rejim Zionist dengan cara memboikot apa sahaja bentuk kerjasama dengan jenama pro-Israel.
Menurut Kaka, meskipun tindakkan tersebut dianggap kecil namun, ia mampu mempengaruhi pengikut mereka di media sosial untuk melakukan hal sama.
Lantas, ia akan mencipta impak yang sangat besar.
“Saya harap kita terus sama-sama berjuang demi Palestin. Kita bukan buat untuk diri sendiri tapi untuk agama dan saudara kita.
“Saya akui memang susah nak lawan semua entiti ini kerana mereka merupakan jerung besar tapi walau sekecil manapun tindakan kita, ia mampu memberikan kesan.
“Walau kecil tindakkan kita itu tapi bila dibuat secara beramai-ramai, impaknya akan jadi lebih besar,” katanya kepada MH.
Kaka berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert minggu pertama The Hardest Singing Show (THSS), baru-baru ini.
Pada masa sama, penyanyi lagu Bukan Hal Aku ini enggan menghakimi rakan-rakan artis mempromosikan barangan menyokong Israel kerana percaya setiap orang mempunyai alasan yang tersendiri.
“Saya harap rakan-rakan artis lain juga turut perjuangkan hal ini. Namun, saya tidak menghakimi mereka kerana pilihan di tangan masing-masing.
“Saya tidaklah kecewa. Semua orang ada alasan dan sebab yang tersendiri. Begitu juga saya.
“Mungkin mereka juga ada tanggungjawab sendiri dan perlukan wang untuk perbelanjaan keluarga.
“Kita tidak boleh menilai tapi saya tetap akan terus mengajak semua pihak turut sama berjuang melawan Israel. Kalau boleh boikot, kita akan boikot,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai pandangannya tengang gerakan ‘Blackout 2024’, Kaka teruja dengan gerakan tersebut dan sudah mula menyekat akaun-akaun artis antarabangsa yang membisu mengenai insiden kejam di Palestin.
“Saya sangat kagum dengan gerakkan boikot yang kini rancak berlaku di peringkat antrabangsa. Saya harap tiada artis kita yang terasa atau terkesan.
“Saya di sini bukan nak mengentam sesiapa tapi cuma nak bagitahu yang saya sukakan gerakkan ini.
“Ia gerakkan yang sangat positif. Saya pun dah mula sekat akaun media sosial artis-artis antarabangsa. Saya tak mahu mereka meracuni pemikiran saya.
“Saya rasa kita sekarang sudah terlalu kebaratan. Semua benda nak ikut orang di sana. Kita kena ada identiti dan pegangan sendiri,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.