Pelakon, Datuk Adi Putra menyambut baik pandangan para agamawan yang menjadikan konflik di dalam drama Lelaki Itu sebagai contoh untuk menjelaskan segala permasalahan dari sudut pandang agama.
Menurut Adi, hal ini sekali gus mendekatkan jurang diantara para agamawan dengan karya dan penggiat industri seni.
“Terima kasih dan syukur alhamdulillah kepada para agamawan kerana mereka juga menonton drama Lelaki Itu. Seperti kita tahu, ada agamawan yang tidak menonton tv atau filem.
“Jadi mereka akan tahu apa yang berlaku di dalam televisyen. Dalam industri ini, kita sebenarnya bukan 100 peratus hiburan sahaja. Tidak sama sekali. Itu hanya tanggapan.
“Janganlah beranggapan industri hiburan ni semata-mata memberikan mesej yang tidak baik. Saya juga ingin berterima kasih kepada golongan agamawan yang menyentuh isu di dalam drama ini,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, pelakon asal Singapura ini akui tidak terkesan meskipun menerima kecaman hebat daripada netizen disebabkan wataknya di dalam drama tersebut.
“Saya ada menerima kecaman dan komen negatif. Namun, saya melihat perkara ini dari sudut positif. Manusia memang diciptakan tidak sempurna dan apa yang berlaku dalam drama ini hanyalah lakonan semata-mata.
“Namun, ia tetap perkara nyata yang kerap terjadi di zaman sekarang. Ia langsung tidak memberikan kesan kepada saya walaupun mendapat tomahan dan kecaman.
“Kalau kita melihat dari mata hati, segala yang berlaku disebabkan keadaan sekeliling. Sebab itu terjadinya masalah poligami, faraid, perundangan syariah dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada drama ini hanya ingin menunjukkan kelemahan pihak lelaki, Adi Putra sebaliknya menyeru kaum adam untuk menjadikannya sebagai pengajaran untuk menguruskan hidup dengan baik.
“Kepada lelaki di luar sana, ambillah perkara yang berlaku ini sebagai satu cabaran. Ini cabaran kita sebagai khalifah untuk mengatasi segala keadaan kerana pilihan di tangan anda.
“Apa yang berlaku kepada kita bukan ujian. Tuhan tidak akan menzalimi sesuatu malainkan kalau kita minta sesuatu untuk dizalimi,” akhirinya.
Terdahulu, drama Lelaki Itu telah mencipta sensasi selepas meraih jumlah carian lebih 1 billion di media sosial.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI