Hiburan

“Kita Bukan Minta Sedekah, Orang Yang Bagi,” – Azlee Senario Raih RM15,000 Sebulan Di TikTok, Boleh Bayar Kereta & Rumah

Share

Pelakon dan pelawak senior, Azlee Senario mengakui platform TikTok sedikit sebanyak telah membantu dirinya meraih pendapatan sampingan menerusi sesi siaran langsung.

Menurut Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, dia terharu melihat sokongan peminat yang menghargai kerjayanya dalam bidang seni dengan menyumbang hadiah dalam bentuk ‘koin’ atau ‘gift’ TikTok.

“Saya pun tak sangka penangan TikTok ni dan saya baru sahaja belajar. Ia bermula ketika saya menjadi juri untuk sebuah program TV.

“Ada sahabat cadangkan saya untuk buat live di TikTok. Katanya boleh cari duit lebih untuk tambang balik. Pada mulanya, saya macam malas nak mula.

“Kemudian, sahabat saya itu ciptakan akaun dan saya tak sangka platform itu boleh jana pendapatan. Saya terkejut sebab orang boleh beri ‘gift’ sebanyak itu.

“Ada satu hari, saya buat live selama lima minit dan telah meraih RM8,500,” katanya kepada MH.

Anggota kumpulan Senario itu berkata sedemikian ketika ditemui di Majlis Iftar & Tayangan Video Raya Suria FM di Sri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.

Lantaran itu, Azlee turut menyeru kepada para anak seni terutamanya artis senior untuk memanfaatkan platform TikTok demi meraih pendapatan sebagai persediaan sekiranya tiada tawaran kerja.

“Ia ini boleh menjadi platform untuk meraih pendapatan sampingan terutamanya buat artis-artis lama. Mereka masih ada peminat yang sayang mereka dan akan berkongsi rezeki.

“Kita lihat sahaja Datuk Red, dia pernah susah sampai terduduk tapi disebabkan dia buang rasa malu dan gunakan platform yang betul, masyarakat jadi sayang pada dia.

“Kita bukan minta sedekah tapi orang yang memberi. Itu hadiah daripada orang ramai,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Azlee turut mendedahkan dirinya mampu meraih pendapatan mencecah lima angka dalam masa sebulan dengan mengadakan sesi siaran langsung di TikTok.

“Saya tidak buat live setiap masa. Saya ada sasaran saya sendiri. Dalam satu hari, saya mencari RM500 dan kalau lebih, itu bonus.

“Dalam sebulan saya boleh dapat RM15,000. Saya akan keluarkan setiap hujung bulan. Saya anggap ia pendapatan bulanan saya.

“Alhamdulillah, setakat ini, duit kereta dan rumah, TikTok yang bayar,” akhirinya.

Terdahulu, Azlee telah membuat kemunculan istimewa menerusi drama Hari Raya Suria FM yang berjudul, Suami Raya.

Drama Suami Raya kini sudah boleh mula ditonton menerusi saluran Youtube Suria FM.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf