“Kita Rockers Hari Ini Putus, Semalam Dah Okay,” – Hubungan Dengan Rody & Adda Baik, Ewal Rasa Janggal Kalau Bergaduh

Share

Vokalis kumpul Kristal, Ewal Ismail mendedahkan hubungannya bersama gitaris utama kumpulan tersebut, Rody tidak pernah berubah meskipun hasratnya untuk berkahwin dengan adiknya, Nur Syuhada Baharuddin tidak kesampaian.

Menurut Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, dia dan Syuhada juga masih lagi berkawan baik dan mereka tiada masalah untuk bekerja bersama.

“Walaupun saya sudah berpisah dengan bekas tunang, hubungan saya dengan Rody tetap baik. Saya rasa dia pun lebih lega bila saya putus tunang.

“Bukan dengan Rody sahaja, hubungan dengan Adda juga tetap baik. Dia juga masih datang ke studio saya untuk mengadakan sesi rakaman lagu cover,” katanya kepada MH.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ke-11 itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Anniversary Ke-33 Damasutra yang berlangsung di Malaysia Tourism Center (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagaimanapun, Ewal memaklumkan dirinya akan tetap menjaga batas pergaulan memandangkan Syuhada atau lebih mesra disapa Adda kini telah pun bergelar isteri orang.

“Hubungan saya dengan Adda memang sangat profesional. Kami juga menjaga batas antara satu sama lain. Saya kenal mereka (Adda & Rody) sejak kecil. Rasanya lebih janggal kalau kami terus bergaduh,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Ewal menegaskan dirinya sudah pun melupakan kisah cinta lamanya dan kini mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap kumpulan Kristal.

“Kekecewaan saya ini sebenarnya sudah lama terubat. Bagaimanapun, saya masih lagi belum menjumpai pengganti. Cukup-cukup la dahulu.

“Sekarang ini, fokus saya hanya pada Kristal memandangkan ketika ini kami sedang sibuk dengan undangan persembahan. Lebih baik saya fokus kepada kerjaya seni terlebih dahulu.

“Kita ni rockers, hari ini putus, semalam dah okay,” akhirinya.

Sekadar informasi, pertunangan Ewal dengan Adda September 2021 hanya mampu bertahan sebulan lebih, bagaimanapun mereka tidak menguar-uarkan bila ikatan itu berakhir.

Adda yang pernah menganggotai kumpulan Butterfly kemudiannya difahamkan telah bernikah dengan lelaki pilihan hatinya.

Sementara itu, Kristal dipilih menjadi band jemputan untuk Konsert Anniversary Ke-33 Damasutra.

Mereka difahamkan akan mengisi slot ‘Idola’ dengan membawakan lagu-lagu rock popular tahun 90-an.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf