Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn yang sinonim menerusi perniagaan estetik, Dr Abdullah Haji Alias atau mesra disapa Dr Cute, belum terfikir untuk tampil melancarkan lagu sendiri, seperti mana yang pernah dilakukan oleh rakan pengasas yang lain sebelum ini.
Dr Abdullah yang memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan selain berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun berkata, dia bukanlah individu yang layak untuk terjun dalam dunia seni sebagai penyanyi atau pelakon.
“Soalan pertama saya kalau buat lagu, adakah orang nak dengar suara saya? Beginilah, kemahiran serta kepakaran saya ialah sebagai doktor yang merawat pesakit, melakukan kajian terhadap pembangunan produk baharu dan sebagainya.
“Saya bukanlah orang yang layak untuk jadi penyanyi atau pelakon. Sebab bagi saya, dalam dunia bisnes kita memang didedahkan dengan dua kaedah permasaran, iaitu good and bad marketing.
“Maaf kata, saya ada level sendiri. Bukan nak kata saya ni bagus. Cuma bagi saya, saya golongan profesional. Jadi lebih baik kita beri peluang pada penyanyi yang sedia ramai di luar sana untuk teruskan kerjaya mereka,” katanya ketika ditemui pada Malam Gemilang Inderaloka Pahlawan, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis sama, turut dilancarkan ialah Kopi Oral Sunblock (Sunproof Coffee) yang bertindak sebagai pelindung matahari oral pertama di Malaysia selain memperkenalkan pempengaruh, Muhammad Noor Zakaria (Mdno) sebagai wajah wakilan.
Malah jelasnya lagi, kita sekarang sudah memiliki ramai penyanyi lelaki dan wanita yang berbakat besar termasuk yang baharu dan lama.
“Biarlah mereka sahaja. Malah kita sekarang sudah ada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bagi ruang kepada mereka yang boleh menyanyi. Cukuplah saya sebagai doktor, jadi doktor saja.
“Setakat ini saya belum lagi menerima apa-apa tawaran untuk merakam lagu. Cuma baru-baru ini, saya dipanggil untuk sesi rakaman temu bual di konti sebuah stesesn radio dan ada yang cadangkan selepas ini saya boleh jadi penyampai radio.
“Saya jawab, tugas dan tanggungjawab sudah terlalu banyak. Tidak mengapalah, takkan kita nak tapau semua. Bagilah ruang dan peluang kepada mereka yang lebih layak,” katanya lagi.
Mengulas mengenai produk terbaharu yang dikeluarkan itu Dr Abdullah menjelaskan ia sebagai pendekatan baru dalam penjagaan kulit yang menggabungkan perlindungan UV dengan rutin harian minum kopi.
Produk ini menawarkan cara mudah dan praktikal untuk melindungi kulit daripada kesan buruk sinaran UV, kesan terbakar oleh sinaran mentari, serta penuaan pramatang.
“Sunproof Coffee adalah hasil penyelidikan yang mendalam, menggabungkan teknologi pelindung matahari terkini dengan ritual harian minum kopi. Ini adalah penyelesaian yang mudah, namun inovatif, untuk melindungi kulit dari dalam.
“Ini adalah satu revolusi dalam bidang penjagaan kulit. Dengan memanfaatkan kuasa antioksidan dan bahan pelindung matahari, kami menawarkan satu cara yang berkesan untuk melindungi kulit daripada kerosakan UV, tidak kira di mana mereka berada.
“Ini adalah masa depan penjagaan kulit yang mampu melindungi kulit dari dalam, dengan setiap hirupan kopi,” katanya.
Berbeza dengan produk pelindung matahari generik sedia ada, Sunproof Coffee menawarkan perlindungan luar dalam menggunakan bahan-bahan semulajadi yang berkhasiat seperti Moringa, Bawang Lanang Hitam, Paku Pakis (Polypodium Leucotomos), Kopi Hijau, dan Astaxanthin.
Selain memperkenalkan produk inovatif ini, Dr Cute International Sdn Bhd juga melancarkan program Usahawan Bangkit Berjaya Bahagia (UBBB), iaitu sebuah inisiatif untuk memberikan sokongan kepada usahawan Bumiputera yang berminat menceburi industri kecantikan dan kesihatan.
Program tersebut yang dijalankan dengan kerjasama MARA, Projek Keusahawanan, dan USMARI Research Center, yang menawarkan pembiayaan sebanyak RM10 juta untuk membantu usahawan berkembang, dari pembangunan produk hingga pemasaran dan jualan.
Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk memulakan perniagaan mereka dengan sokongan kewangan dan bimbingan yang diperlukan.
Bagi yang berminat, boleh menyertai Program Usahawan Bangkit Berjaya Bahagia (UBBB) dengan membuat permohonan melalui laman web rasmi Dr Cute International Sdn Bhd atau melalui ejen-ejen yang terlibat.
Majlis turut diserikan dengan penampilan Elly Mazlein sebagai hos selain persembahan nyanyian daripada Zaiton Sameon, Shah Iranz dan Rehana Han.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini