Media sosial hari ini dilihat sebagai sebuah platform yang bebas untuk melontarkan kata-kata, pandangan malah tidak kurang juga, tohmahan negatif. Terutamanya dalam dunia hiburan, barisan selebriti antara golongan yang tidak lari dari kecaman di media sosial.
Terdapat segelintir yang mudah melatah, malah ada juga yang tidak goyah apabila dilontarkan dengan kata-kata negatif. Berbicara mengenai isu ini, penyanyi popular, Shila Amzah berkongsikan cara terbaik untuk menangani kecaman negatif di media sosial.
Menurut Shila, dia lebih suka memilih untuk tidak menjawab atau tidak melayan mana-mana komen yang negatif kerana tidak mendatangkan faedah.
Namun, sebagai seorang selebriti, dia harus menjadi lebih peka dan sensitif dalam setiap hantaran yang ingin dimuat naik di akaun media sosial miliknya. Hak privasinya kadang-kala diganggu kerana menjadi fokus utama lensa kamera sehinggalah ia menjadi topik viral.
“Bagi saya, kita tidak perlulah menjawab komen-komen negatif yang datang kepada kita di media sosial. Apa yang penting, kita buat apa yang ingin kita lakukan. Usah ambil peduli tentang orang lain.
“Kalau dahulu saya memilih untuk menjawab setiap komen-komen yang negatif itu. Tetapi hari ini, saya lebih memilih untuk berdiam diri. Jika tidak tahan, saya tidak akan menghiraukannya.
Namun, usahlah membuat hantaran sekiranya sedang marah. Sebaliknya, berhenti dahulu dari bermain media sosial dan tunggu sehingga marah dalam diri jadi reda. Media sosial ini hanyalah duniawi semata-mata,” komennya.
Tambah Shila, ruang media sosial ini digunakan untuk mendidik para peminatnya tentang perkara dan fakta yang benar. Ia merupakan tanggungjawab saya sebagai seorang selebriti.
Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menepis kecaman negatif di laman sosial. Seperti yang dikongsikan oleh penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini, dia memilih untuk menghadkan masa menggunakan medial sosial.
“Kalau anda rasa tak boleh nak terima kecaman-kecaman negatif, jadi hadkan penggunaan anda.
“Mengenai mereka yang sentiasa komen itu dan ini, saya percaya dengan konsep Qanaah. Sentiasa besyukur dengan rezeki yang Allah turunkan pada anda. Usah membuat perbandingan dengan orang lain.
“Apa-apapun, sayangi diri anda. Fokuskan pada diri sendiri terlebih dahulu. Itu yang lebih penting,” ujarnya mengakhiri bicara.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari majalah Hijabista
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber gambar: Instagram Shila Amzah