Uncategorized

“Kita Tak Minta, Tapi Allah SWT Dah Bagi Takdir Tersebut,” – Sweet Qismina Cerita Pengalaman Positif Covid-19, Reda Ada Tuduh Macam-Macam

Share

Pelakon, Sweet Qismina meluahkan rasa syukur apabila dia kini sudah kembali sembuh dan pulih selepas disahkan positif Covid-19, pertengahan April lalu.

Sweet atau nama sebenarnya Farhana Qismina Supandi berkata, apa yang telah berlaku menjadi suatu pengalaman sangat berharga, meski terpaksa menjalani tempoh kuarantin bagi mendapatkan rawatan.

“Kalau kita fikir balik, ia merupakan satu pengalaman yang sangat luar biasa. Kita tidak mahu penyakit tu, kita juga tak minta. Tapi Allah SWT dah bagi takdir tersebut dekat kita.

“Jadi bila kita sudah lalui, alhamdulillah. Tahap yang saya alami tidaklah teruk sampai peringkat empat atau lima. Syukur semuanya dipermudahkan dan kembali sihat seperti biasa,” katanya kepada MH.

Bintang berusia 24 tahun ini turut menambah, pengalaman tersebut akan terus diingatinya sampai bila-bila.

“Ya, satu pengalaman luar biasa. Saya juga tak nafikan, rasa rasa sedih ada, menangis pun ada. Cuma nak dikatakan alami depresi tu, tak adalah. Hanya mental sahaja yang tak kuat ketika itu.

“Bagaimanapun bila difikirkan balik, bila sudah pulih ni, rasanya perkara ini akan kongsikan pada anak cucu saya nanti.

“Ini pandemik yang berlaku di seluruh dunia dan kita tak tahu penyakit ini akan wujud sampai bila,” katanya lagi.

Sementara itu, Sweet mengakui ada segelintir pihak yang menunding jari menyalahkan dirinya apabila disahkan positif ketika berada di Perak.

“Pada mulanya, kita rasa marah bila ada orang tunding jari dekat kita kan. Tapi bila kita fikir balik, kita tak boleh nak salahkan sesiapa.

“Saya anggap ia bukan satu isu yang besar dan bila kita tunding jari dekat orang lain pun dah salah sebenarnya.

“Awak tak boleh nak salahkan orang lain kalau awak sendiri pun tak jaga SOP. Jadi pada saya, jika ada yang mendakwa saya ni pembawa atau punca, saya terima dengan hati yang terbuka,” katanya lagi.

Pelakon drama bersiri Bidadari Salju ini ditemui pada majlis iftar Warner Music Malaysia di Kampung Resort Café, Sunway Resort Hotel, Selangor.

Terdahulu, Sweet telah menjalani rawatan selama 3 hari di Hospital Kuala Kangsar, Perak sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Arena Badminton, Perak, selama tujuh hari.

Foto: Instagram Sweet Qismina

Published by
Nazar Rafiqhi