Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada 22 September lalu, selebriti versatil Ifa Raziah mengakui pada fasa sekarang dia tidak mahu untuk memikirkan soal remeh temah melainkan hanya mahu beri fokus terhadap kerjaya dan keluarga.
Baginya, dengan situasi sekarang adalah lebih baik untuk kita saling muhasabah diri dan cuba dekatka diri dengan hal positif, misalnya dalam soal memilih kawan.
Menafikan dirinya seorang gemar ‘cari musuh’, Ifa sebaliknya mendedahkan dia suka berkawan, cuma ada yang seakan tidak mahu bergaul dengan dirinya.
“Memang saya baik dengan semua orang, cuma bukan semua orang yang suka untuk berbuat baik dengan saya. Siapa yang makan cili dia yang akan rasa pedas. Tapi itu biasalah, dalam ramai yang suka, pasti akan ada orang yang tak sukakan kita. Jadi kita tak boleh nak puaskan hati semua orang.
“Pada masa sama, kita ni pun sebagai manusia kenalah pilih orang juga dalam berkawan. Memang perlu kita pilih sebab kita tak tahu bila nak mati. Entah esok atau lusa. Jadi kena pilih kawan yang betul,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Ifa yang sebelum ini pernah memenangi dua trofi Anugerah Artis Versatil turut merakamkan jutaan terima kasih buat peminat yang selama ini tidak pernah jemu untuk sokong.
“Sekarang saya pilih untuk bahagiakan diri saya bersama keluarga, kerjaya dan peminat. Saya lebih rela buat hal yang menyeronokkan dari fikir yang bukan-bukan. Malah, lebih baik untuk hargai mereka yang tahu hargai kita.
“Bagi saya, diri ni lebih syukur bila ada peminat yang terus sokong baik tika saya jatuh dan bangun, itu lebih bermakna,” akhiri Ifa yang bakal sibuk di lokasi sebuah drama epik bersiri, Puteri Saadong.
Foto: Instagram Ifa Raziah