Memahami pendedahan rakannya, Yassin yang menyatakan dia langsung tak pernah membuat simpanan wang sepanjang 20 tahun kariernya bersama kumpulan Senario, Saiful Apek secara ringkas berfalsafah mengatakan manusia tertipu dengan kejahilan dunia.

Malah, dia menegaskan kekayaan tidak pernah sesekali diukur pada wang semata-mata.

Sebaliknya, kesihatan, sahabat dan dihindari musibah juga berkait dengan rezeki Allah.

Pada saya kekayaan bukanlah terletak pada duit. Ada definisi berbeza dalam mencari duit dan mencari rezeki. Duit belum tentu menjadi rezeki, kadang kala boleh menjadi bala.

“Rezeki pula belum tentu berbentuk duit. Diberi kesihatan yang baik, kawan-kawan yang baik, dan dihindari musibah juga adalah rezeki.

“Bagi saya, manusia yang paling kaya ialah manusia yang memiliki sesuatu yang tidak boleh dibeli dalam dunia. Sebagai contoh Tan Sri P.Ramlee, apakah kekayaan yang ditinggalkan? Tiada apa yang ditinggalkan untuk waris. Disebabkan itu tegas saya ialah, kekayaan sangat subjektif,” ulasnya ketika ditemui MH.

Pelawak senior ini turut menyelar tindakan segelintir selebriti yang hanya memaparkan kemewahan di laman sosial sehingga luar erti sebenar menjadi insan seni.

Kebanyakan mereka yang bergelar artis semuanya gemar memaparkan kekayaan dan kemewahan. Pada saya, seni bukan kemewahan. P.Ramlee tidak pernah menunjuk kekayaan, malah sehingga kini sukar untuk melihat sesiapa pernah bergambar bersama seniman itu,” katanya lagi.

IKLAN

Dia turut menyeru agar masyarakat tidak hanya menganggap golongan seni sebagai ‘bank bergerak’ kerana jelasnya, insan seni hanya kaya dengan karya, bukannya duit.

Saya mahu memperbetulkan persepsi masyarakat yang menganggap selebriti kaya. Dalam Instagram saya sendiri, setiap hari ada sahaja yang meminta untuk meminjam duit. Pada mereka, artis adalah bank.

“Kalau begitu, lebih baik kami wujudkan perniagaan perbankan. Tolong faham definisi kekayaan, artis dan duit,” tegasnya lagi sewaktu ditemui pada majlis Pra Pelancaran Program Karnival HISCE 2019 di Menara Matrade semalam.

Lelaki berusia 50 tahun ini turut mendedahkan pernah ditipu sebanyak RM5 juta sepanjang pembabitannya dalam industri hiburan.

Jelasnya lagi, jangan sesekali memandang rendah seseorang kerana pengakhiran setiap manusia berbeza.

IKLAN

“Saya pernah berkongsi sebelum ini, sepanjang bergelar insan seni, saya tafsirkan kerugian sebanyak RM5 juta akibat ditipu.

“Tidak kira apa kerjaya kita sekalipun, waima Menteri, usahawan atau artis, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup seseorang. Mungkin apa yang berlaku atas kesilapan sendiri atau asbabnya orang lain,” tambahnya.

Apek turut menyatakan kekecewaan dengan penerimaan netizen terhadap golongan selebriti dan insan seni. Katanya, netizen lebih gemarkan hiburan berbanding perkongsian bermanfaat.

Saya tidak pernah fikir apa yang saya mahu sepanjang hidup. Saya selalu fikir apa yang saya tidak mahu dan berusaha akan elakkan. Saya tidak pernah fikir mahu isteri yang ramai, rumah besar atau kolam yang punya beribu ikan duyung. Itu bukan definisi kaya untuk saya.

IKLAN

“Itulah beza antara artis dan insan seni. Insan seni tidak pernah perjuangan kemewahan, kemewahan kami kepada orang yang menerima karya kita.

“Kadang kala saya hairan dengan penerimaan netizen. Bila saya kongsikan mengenai dakwah, hanya sedikit yang memberi respon, namun apabila bercerita mengenai hiburan, kekayaan, reaksinya sangat luar biasa.

“Dan kini segalanya melihat kepada jumlah pengikut di laman sosial. Pada saya ia sudah terkeluar daripada landasan sebenar industri hiburan, pengikut boleh dibeli, jadi di mana keaslian insan seni sekarang ini?

“Sebenarnya mengenai isu Yassin, apa definisi duit sebenarnya dan mengapa pengakhirannya begitu? Contoh terdekat kita boleh kaitkan adalah Tan Sri P.Ramlee. Kita tertipu dengan kejahilan dunia,” katanya.

Apek ditemui pada Majlis Pra Pelancaran Program Karnival HISCE 2019. HISCE atau Health Insurance Safety Conference Expo 2019 merupakan inisiatif Pengarah Urusan Klass Event Network agar sektor keselamatan, perlindungan dan keselamatan dapat dihimpunkan di bawah satu bumbung untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat.

Antara artis terlibat adalah Saiful Apek, Putra Amaris dan Julia Farhana Marin.

https://www.youtube.com/watch?v=9yjaxl_Fa6Y&feature=youtu.be

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI