Pelakon, Taiyuddin Bakar menyangkal dakwaan yang mengatakan aktiviti dakwah dan budaya skinhead tidak akan pernah berada di atas satu paksa yang sama.

Menurut Taiyuddin atau lebih mesra disapa Tai, setiap manusia mempunyai tanggungjawab menyebarkan dakwah walaupun menerusi perkara-perkara kecil.

“Pada saya, skinhead dan dakwah boleh jalan seiring. Skinhead yang buat dakwah adalah lebih baik daripada orang biasa tapi tak buat dakwah.

“Kita adalah umat dakwah yang mengajak manusia kepada kebaikkan dan dekat dengan Allah SWT. Kita kena cegah manusia daripada melakukan kemungkaran.

“Siapapun kita, walaupun kita tidak solat tapi bila azan berkumandang, kita mengajak orang solat, itupun sudah dikira dakwah,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Apa Celop Toqq itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media showcase Uncure Palestin: Hak Yang Dinafikan yang berlangsung di Garage Space, Ampang Hilir pada Rabu.

Pada majlis tersebut juga, Tai telah diumumkan selaku vokalis baharu bagi kumpulan muzik underground, Uncure.

Ads

Katanya lagi, kemanisan berdakwah ini akan lebih dirasai oleh mereka yang menyampaikan dakwah.

“Pada sesetengah orang, mereka merasakan dakwah ini untuk memperbaiki orang lain tapi sebenarnya tidak. Dakwah berfungsi untuk memberikan diri kita kekuatan.

“Sebagai contoh, bila kita banyak bercakap tentang kelebihan solat, yang akan dapat kekuatan untuk menjaga solat adalah diri kita sendiri dan bukannya orang kita sampaikan dakwah.

“Bayangkan jika kita berjumpa 25 orang satu hari dan bercakap ‘Allah kuasa, mahluk tak kuasa’, setiap orang itu akan dengar sekali sahaja tapi telinga kita akan dengar 25 kali.

Ads

“Ia akan masuk dalam hati kita dahulu. Jadikanlah dakwah ini fungsi hidup,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Tai turut bertekad untuk terus bersuara dan menyalakan semangat untuk terus bersolidariti buat saudara di Palestin.

“Kami ingin bagitahu yang kita punyai suara terhadap isu Palestin. Malah, kami berharap agar lagu-lagu kami dapat terus menyalakan semangat orang-orang yang ingin bersolidariti.

“Kami juga menyasarkan kepada mereka yang masih belum berbuat apa-apa.

“Walaupun ada yang merasakan jika mereka bersolidariti tidak akan berikan impak, kami ingin ingatkan, walaupun satu jari diangkat untuk bersolidariti, itu sudah cukup bermakna,” akhirinya.

Ads

Sekadar informasi, Uncure merupakan sebuah band bergenre ‘ska’ yang sudah bergiat aktif di dalam industri muzik sejak 26 tahun lalu.

Showcase Uncure Palestin: Hak Yang Dinafikan bakal berlangsung pada 14 September 2024 di Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor.

Tiker dijual pada harga RM89 (early bird) dan RM100 selepas 25 Ogos dan boleh dibeli terus menerusi akaun media sosial rasmi Uncure_Kugiran.

Sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan disumbangkan kepada Kedutaan Palestin di Malaysia.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI