KJ Sah Mulakan Tugas Di Konti Radio Rabu Depan Dalam Slot Bekpes Hot

Share

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) akan memulakan tugas baharu sebagai penyampai radio stesen Hot FM bermula Rabu depan.

Khairy, 47, atau KJ mengesahkan penyertaannya dalam gandingan skuad Bekpes Hot menerusi temuramah melalui telefon pada segmen sama yang bersiaran pagi tadi.

Dua minggu lalu, Hot FM membuat surat tawaran terbuka di laman Instagram mereka kepada bekas ahli parlimen Rembau itu selepas KJ dipecat daripada keahlian UMNO.

Media Prima Audio (MPA) menerusi satu kenyataan berkata, KJ akan memulakan tugasnya sebagai penyampai radio setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi bergandingan bersama Johan, AG dan Fara Fauzana.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

“Khairy atau KJ bukan saja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar