
KahwinFest 2025 anjuran QALAM Management kembali menemui pengunjung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 April ini di Wangsa Walk Mall, Kuala Lumpur bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Sebagai pusat sehenti kelengkapan perkahwinan, KahwinFest menghimpunkan pelbagai vendor utama dalam industri perkahwinan, sekali gus menjadikan festival ini sebagai tumpuan utama bakal pengantin yang sedang merancang menuju hari bahagia.
Menurut wakil penganjur, sebanyak 44 ruang pameran akan disediakan, dengan pelbagai tawaran menarik termasuk potongan harga sehingga 70 peratus sempena Aidilfitri untuk pakej terpilih.
“Kemasukan ke ekspo ini adalah percuma. Ia juga merupakan lokasi terbaik yang dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga bakal pengantin,” ujar penganjur.
Antara vendor yang sudah mengesahkan pembabitan mereka seperti Tamu Hotel & Suites, Damoora, Khulafa Studio, Rose Hall & Events, Topazio Imperial, VC Venture Travel dan banyak lagi.
Gabungan Kreatif Gula Cakery & Hatta Dolmat
Selain itu, antara tarikan utama KahwinFest tahun ini adalah kerjasama eksklusif antara dua jenama terkenal, Gula Cakery dan pereka fesyen tersohor, Hatta Dolmat.
Kolaborasi ini diperkenalkan menerusi pertunjukan kapsul eksklusif yang pertama seumpamanya di Malaysia, dikenali sebagai Wear the Couture Dress Cake.
“Kapsul itu bakal melihat penyatuan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat dan pemilik jenama Gula Cakery (Nor Arieni Adriana Mohd Ritzal & Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli) berkongsi idea kreatif masing-masing.
“Acara ini mempersembahkan satu inovasi unik dalam dunia perkahwinan yang bakal menyaksikan kek pengantin sebenar bersaiz penuh direka sebagai busana couture dan digayakan oleh model secara langsung di pentas pertunjukan,” maklum penganjur.
Tambah penganjur lagi, persembahan ini pasti akan akan membawa elemen magis, mewah dan penuh imaginasi dalam satu persembahan visual yang bakal menjadi detik bersejarah di KahwinFest 2025.
Hatta Dolmat Teruja
Dalam pada itu, Hatta turut menyifatkan kolaborasi ini sebagai sesuatu yang istimewa dan luar biasa.
“Hatta sudah lama tidak mengadakan pertunjukan fesyen baju kahwin kerana lebih memberi tumpuan kepada koleksi Ready To Wear, butik dan pelanggan korporat.
“Jadi apabila diundang oleh pihak KahwinFest, Hatta sangat teruja untuk menampilkan sesuatu yang berbeza dan bukan sekadar ‘another collection’,” katanya.
Ulas Hatta lagi, kolaborasi bersama Gula Cakery ini bukan sahaja unik, malah masih kekal relevan dalam tema perkahwinan.
“KahwinFest adalah platform yang meyakinkan dan mampu merealisasikan keterujaan ini. Tak sabar untuk melihat hasilnya iaitu busana daripada kek dalam saiz sebenar dan dipakai oleh model,” katanya.
Malah, Nor Arieni juga optimis setiap kerjasama yang dijalin bakal membawa simbolik tersendiri serta memberi warna baharu kepada industri perkahwinan di Malaysia.
“Pada akhirnya, kita percaya dan optimis kerjasama sebegini mezahirkan pelbagai rasa dan impak. Saya bersyukur melihat kerjasama Gula Cakery dan Hatta Dolmat ini menjadi realiti,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI