Pelakon dan pengacara, Uyaina Arsyad mengakui berasa gementar pada awal apabila mengetahui dirinya bakal bergandingan bersama aktor, Zul Ariffin menerusi drama terbaru, Love, Elsa.
Jelas Uyaina, pengalamannya dalam dunia lakonan amatlah sedikit jika dibandingkan dengan Zul yang telah pun mencipta nama terlebih dahulu.
“Semasa saya ditawarkan watak ini, ketika itu saya masih lagi tengah shoot drama, Perempuan Tanpa Dosa. Pada waktu itu saya tidak tahu bakal digandingkan dengan Zul Ariffin.
“Sejujurnya saya amat berbesar hati tapi pada masa sama saya rasa takut juga. Saya takut untuk masuk ke set kerana ini kali pertama saya bergandingan dengan nama besar seperti Zul Ariffin.
“Saya pula baru setahun jagung dan merangkak lagi di dalam industri ini,” katanya kepada MH.
Bagaimanapun, Uyaina mendedahkan perasaan gementarnya itu mula hilang saat mereka bertemu di lokasi penggambaran.
“Rupa-rupanya bila dah berada di set, Zul ni sebenarnya kuat menyakat. Pengurus saya pun selalu rakam aksi-aksi di kami di belakang tabir.
“Jadi kami sempat rakam telatah Zul di sebalik kamera. Ternyata orang tidak akan sangka pun itu perangai sebenar Zul yang kuat menyakat.
“Proses shooting juga amat menyeronokkan dan mudah. Kalau saya ikutkan rasa takut itu, m mungkin saya tak bercakap pun dengan Zul ni,” jelasnya lagi.
Pengacara program Wanita Hari Ini itu berkata sedemikian sewaktu ditemui ketika sesi sidang media drama Love, Elsa secara virtual pada Rabu.
Ditanya mengenai babak-babak yang melibatkan sentuhan, Uyaina mendedah dia amat berterima kasih kepada Zul dan pengarah, Michael Ang kerana menghormati prinsipnya.
“Perkara paling indah mengenai seluruh penggambaran ini, Michael sangat memahami permintaan saya sebagai wanita berhijab yang tidak mahu bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Apabila saya dan Zul bergandingan pula, kebanyakannya adalah camera trick. Nampak seperti kami bersentuhan tapi sebenarnya tidak.
“Ini semua cabaran yang boleh diatasi.
Terima kasih kepada Michael dan Zul kerana memahami situasi saya,” akhirinya.
Drama bersiri ‘Love, Elsa’ ialah sebuah karya adaptasi novel nukilan Acik Lana yang mengangkat genre fantasi cinta.
Drama ini bakal bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand.
Media Hiburan sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.
Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!
Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!