Usahawan dan selebriti popular tanah air, Neelofa hari ini mengumumkan pertubuhan kebajikan pertamanya, Pertubuhan Kasih Neelofa.
Merupakan idea yang telah tercetus beberapa tahun lalu, pengusaha jenama pakaian Naelofar itu melihat Pertubuhan Kasih Neelofa sebagai platform terbaik untuknya terlibat dengan masyarakat secara total.
“Sejujurnya, saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
“Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu tersebut dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu,” kongsi Neelofa.
Dibangunkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten serta menyeluruh, Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi 3 teras utama.
Menurut Neelofa, 3 teras tersebut adalah teras Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik.
“Teras Keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. Sementara itu, untuk teras Kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan para sukarelawan.”.
“Bagi teras Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik pula, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka, dan kemudia cuba menyelesaikan atau meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal,” katanya.
Tambah Neelofa lagi, menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa ini, tidak ada sesiapa pun yang ketinggalan dan cuba untuk membantu semua yang memerlukan.
Melanjutkan bicara, Neelofa menjelaskan, beliau turut menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resources, iaitu sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakan Pertubuhan Kasih Neelofa.
“Kasih Neelofa Resources merupakan sebuah platform yang boleh dijadikan sebagai medium untuk menjual pelbagai item untuk pengguna, dan keuntungan daripada hasil semua jualan akan disalurkan sepenuhnya ke dalam tabung pertubuhan.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi galakan kepada mereka di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Diterajui bersama ibu, ibu saudara dan Ustaz Azam, Pertubuhan Kasih Neelofa merupakan pertubuhan peringkat kebangsaan.
Sempena dengan kedatangan Hari Raya Aidiladha nanti, Qurban Kasih Neelofa adalah aktiviti pertama yang akan dilancarkan di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa. Program ini memberi peluang kepada individu yang ingin melaksanakan ibadah korban dengan mudah disamping memberi ilmu pengetahuan kepada ramai orang yang mungkin tidak tahu tentang proses untuk melaksanakan ibadah korban secara berhemah dan betul.
“Menerusi program Qurban Kasih Neelofa ini, kami berharap agar dapat memudahkan proses golongan yang ingin melaksanakan ibadah korban. Menerusi program ini juga, kami berharap ia dapat menambah ilmu orang ramai tentang kepentingan dan kebaikan ibadah korban dalam kalangan umat Islam,” katanya lagi.
“Banyak aktiviti lain yang dirangka oleh pihak Pertubuhan Kasih Neelofa. Tetapi, kami akan umumkan satu persatu pada masa akan datang,” ujarnya.
Neelofa berharap agar inisiatifnya untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi penubuhan Pertubuhan Kasih Neelofadapat diterima baik dalam kalangan orang ramai.
“Bukan mudah untuk menguruskan pertubuhan, lebih-lebih lagi yang melibatkan wang kebajikan dan derma daripada orang ramai. Ia merupakan satu amanah yang sangat besar.
“Saya berharap agar orang awam memberikan kepercayaan kepada saya dan sama-sama menjadikan Pertubuhan Kasih Neelofaini sebagai platform untuk semua,” tutup Neelofa.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI