Berita

Kongsi Rezeki Dengan Anak Yatim & Tahfiz, Aeril Zafrel – “Saya Rasa Mereka Yang Bergelar Yatim Piatu Akan Lebih Faham.”

Share

Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mengambil keberkatan Ramadan dengan meraikan lebih 100 pelajar tahfiz dan anak yatim pada majlis berbuka puasa bersama isterinya, Wawa Zainal, baru-baru ini.

Sudah kehilangan ibu bapa sejak usia remaja, Aeril akui tiada apa yang lebih bermakna selain dapat memberikan sedikit penghargaan kepada golongan sasaran.

“Majlis Raikan Ramadan 2024 ini memang sudah lama kami rancang dan pasang niat nak raikan lebih ramai anak-anak yatim dan tahfiz bagi tahun ini.

“Mengapa tidak untuk meraikan mereka dengan sama-sama berkongsi rezeki. Apatah lagi pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Semua orang layak untuk rasa gembira dalam menantikan hari raya,” katanya.

Selain sumbangan duit raya, majlis anjuran Wawa Cosmetics itu turut menyerahkan beg sekolah buat anak-anak yatim daripada Pertubuhan Warisan Suci dan Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain Bangi serta pelajar tahfiz dari Pertubuhan Kebajikan Pendidikan dan Kesihatan Nur Nasari.

Sementara itu bersempena dengan Syawal tahun ini, Aeril dan Wawa merancang untuk menyambut Aidilfitri di luar negara buat pertama kali bersama keluarga.

“Kadang-kadang nak balik kampung beraya pun macam tak ada perasaan sebab orang tua dah tiada.

“Saya rasa mereka yang bergelar yatim piatu akan lebih memahami. Untuk saya situasi pagi raya itu mungkin tak sama dengan orang lain.

“Cuma syukur orang tua Wawa tinggal bersama kami. Jadi kemeriahan itu tetaplah ada. Kalau ditanya sebab nak beraya di luar negara, ia hanyalah untuk berubah angin,” katanya lagi.

Terdahulu pada majlis sama, Wawa Cosmetics telah  melancarkan produk terbaharu, iaitu advance moisturizer dan cleansing oil yang hadir menerusi set ‘Love Your Skin.’

“Pelembap adalah rutin penjagaan wajah yang wajib diaplikasikan semua orang dan kami ambil masa untuk lancarkan kerana ia melalui proses R&D (penyelidikan dan pembangunan) yang agak lama.

“Ramai yang sudah guna dan sedia maklum dengan keberkesanan produk ‘sun screen’ kami. Sekarang bolehlah kombokan dengan set ini dalam rutin penjagaan kulit wajah anda.

“Bagi keluaran pertama, ia terhad kepada 30,000 unit bagi cleansing oil dan 20,000 unit advance moisturizer,” kata Wawa.

Dihoskan oleh Izzue Islam, majlis yang berlangsung di Doplohtiga Space, Jalan Titiwangsa, Kuala Lumpur bertemakan serba putih itu turut dihadiri lebih 200 jemputan, terdiri daripada para pengedar, pempengaruh media sosial dan warga kerja Wawa Cosmetics.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH