Terpaksa berputih mata dan menanggung kerugian hampir RM19,000 gara-gara terpedaya sindiket pelaburan atas talian (scammer), pelakon, Abby Abadi memaklumkan kejadian tersebut berlaku tanpa pengetahuan suaminya.
Jelas Abby, suaminya, Muhammad Faizal Zakari reda dan menyifatkan segala yang berlaku merupakan ketentuan daripada Illahi.
“Walaupun saya kena tipu, suami kata, ‘tak mengapalah sayang, tiada rezeki tapi macam mana boleh kena?’. Tanya jugak tu?
“Saya cakap tulah pasal. Rasa dah macam group merepek dan dah terasa dah macam nk terkena. Teruskan juga. Macam diseru-seru.
“Duit berlebih gatal pulak. Kalau tiada berduit, tahu pula duduk diam,” tulisnya.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh pelakon yang popular menerusi drama Gerak Khas itu menerusi sebuah hantaran di laman Instaram.
Dalam pada itu, Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan akui lega kerana suaminya itu bersetuju untuk menggantikan kesemua wangnya yang telah lesap.
“Suami memang tak tahu langsung fasal ni. Semua saya memandai sendiri. Konon kalau dapat, nak buat kejutan pada semua. Duit terpijak. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
“Yang pasti, sudah minta suami ganti. Suami kata ok sayang. Terima kasih suami. Baikkan suami saya.
“Tapi serius macam mimpi pun ada ni tapi nak buat macam mana, dah transfer dah pun,” ujarnya lagi.
Akui kesilapan tersebut berlaku disebabkan kelalaian diri sendiri, namun Abby tetap berharap agar dipelaku mendapat hukuman yang setimpal di dunia dan akhirat.
“Manusia tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Tak mengapa, Allah ada. Saya tuntut dekat Padang Masyar nanti. Nak senang hidup dekat dunia, scam orang dan tipu sana sini.
“Tak tahu ke mati seksa nanti? Kalau tak tahu, ni saya nak bagitahu, kalau berhutang pun sangkut, kalau begini apatah lagi.
“Jumpa nanti dekat sana ye scammer. Saya haramkan dunia akhirat,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut menyifatkan kejadian ini sebagai pengajaran yang berguna.
“Sedinya. Semoga Allah gantikan berganda-ganda lagi berkat kesabaran. Mahal sungguh harga sebuah pengajaran. Rasa macam duit sendiri pula.
“Moga Allah gantikan rezeki yang berlipat kali ganda untuk akak sekeluarga.
“Tak mengapa. Ini pengajaran untuk Akak Abby dan para pengikut. Ada hikmah disetiap perkara. Semoga perolek kebaikkan dan rezeki berlipat kali ganda daripada duit yang hilang tu.
“In Sha Allah, bila kita reda dengan apa yang kita sayang, Allah janji akan ada yang lebih baik yang akan datang. Semoga murah rezeki akak. Saya pernah kena dahulu. Suami juga sangat menyokong,” antara komen-komen netizen.
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di Instagram pada Rabu, Abby memaklumkan dirinya telah terpedaya dengan janji manis sendiket scammer selepas namanya dimasukkan dalam kumpulan Telegram ‘Trade Free Income’.
Menurut Abby, dia telah dijanjikan pulangan sebanyak RM145,000 dalam masa tiga jam sekiranya dia melaburkan wang pendahuluan sebanyak RM4,000.
Selepas termakan pujukan sendiket tersebut, Abby memindahkan lagi wang berjumlah RM14,500 seminggu kemudian.
Sedar diri akhirnya ditipu, Abby terus membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Ampang Jaya, Selangor pada Rabu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Abby Abadi