Hiburan

Konon Nak Jadi ‘Terpaling’ Baik? Syura Dedah Sebab Tak Ambil Tindakan Terhadap Pemilik Homestay

Share

Penyanyi, Syura Badron menafikan dia sengaja ingin kelihatan baik hanya kerana enggan mengambil tindakan terhadap pemilik homestay yang sepatutnya bertanggungjawab diatas insiden letupan tong gas sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada suaminya, baru-baru ini.

Menurut Syura, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dan mendapat persetujuan daripada suaminya sendiri.

Katanya lagi, suaminya kini reda dan menyifatkan insiden tersebut merupakan satu kemalangan yang tidak disengajakan.

“Sejujurnya saya malas nak melayan komen-komen yang berbaur negatif ini. Bila dia sentuh dan kata saya ini ‘terpaling’ baik sampai tak fikir keadaan suami, bagi saya itu melampau.

“Sebelum apa-apa keputusan yang saya buat, saya bertanya dahulu dengan suami saya. Bukan saya pandai-pandai buat keputusan tu.

“Saya pergi ke husband dan bertanya, macam mana dengan owner homestay? Ada nak ambil apa-apa tindakan ke? Kita nak buat laporan ke? Saya tanya semua itu.

“Korang tahu apa yang suami saya jawab? Suami saya kata, tak mengapalah. Saya sudah reda. Apa yang berlaku ini adalah kemalangan. Bukan sesuatu yang disengajakan,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu Nazam berkasih itu menerusi sebuah hantaran video di Tik Tok.

Pada masa sama, Syura turut memuji usaha pemilik homestay yang mengambil berat dan menjaga kebajikan suaminya sepanjang berada di hospital.

“Tak adil untuk kami menunding jari dekat dia semata-mata. Saya pun nampak usaha pemilik homestay yang menunggu suami saya di unit kecemasan sampai dia keluar.

“Lepas itu dia dan isteri datang pula ke Hospital Alor Star untuk berjumpa suami saya dan minta maaf. Faham tak keadaan itu? Musibah ni dekat mana-mana pun Allah boleh bagi.

“Dan disebabkan hal ini berlaku, kita dapat ilmu baharu tentang penjagaan dan keselamatan suri rumah yang selalu masak di dapur.

“Sebelum ini, ada yang letak tong gas dalam kabinet yang tiada udara. Banyak sangat hikmah yang saya dapat daripada ujian ini,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Syura turut berharap agar orang ramai dapat menitipkan doa dan ucapan yang baik-baik buat dirinya dan suami.

“Untuk anda semua, jika tiada perkara baik untuk diperkatakan, lebih baik diam. Saya rasa, mendoakan itu lebih baik. Saya dan suami terima qada’ dan qadar yang ditetapkan buat kami.

“Masing-masing ada ujian. Berhentilah mempersoalkan dan menunding jari. Untuk yang komen ini, semoga yang baik-baik sahaja untuk awak.

“Semoga Allah lindung awak supaya awak tidak mendapat ujian seperti mana yang kami terima,” akhirinya.

Terdahulu, pada 25 November lalu, Syura berkongsi keadaan suaminya, Muhammad Farizat dimasukkan ke hospital selepas mengalami luka lecur yang teruk di bahagian muka, kaki dan tangan.

Difahamkan kejadian itu berlaku sewaktu mereka berada di sebuah tempat penginapan di Perlis pada Jumaat minggu lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf