Penyanyi, Aina Abdul tampil menjelaskan mengenai persalinan dari pereka Behati yang dikenakan pada sesi karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34).
Menurut Aina, busana serba hitam yang dipakai adalah kesinambungan kepada jalan cerita single baru yang diterbitkannya berjudul Aina Abdul.
Ia adalah simbolik kepada bentuk bunga mawar yang mana turut menjadi simbolik untuk single barunya itu.
“Konsep ini adalah kesinambungan jalan cerita dalam Aina Abdul yang baru sahaja dilancarkan. Inspirasinya adalah daripada mawar merah.
“Namun malam ini, saya ingin tampilkan mawar hitam dan ia adalah simbolik daripada fesyen yang saya dah lama nak ketengahkan,” katanya, memetik Harian Metro.
Ditanya mengenai reaksi yang ditinggalkan wargamaya di media sosial sejak awal malam tadi gara-gara persalinan tersebut, Aina memilih untuk kurang membacanya.
Malah jelas Aina dia memilih untuk mengikut kata hatinya dalam menata gaya.
“Saya kurang baca kritikan dan sebab itulah saya rasa saya boleh bertahan. Kalau saya baca, saya takkan boleh tahan.
“Saya buat apa yang hati saya rasa betul dan saya nak setiap penampilan saya ada impak. Tapi, kritikan pun sebenarnya adalah publisiti yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Aina dan rakan kolaborasinya, Khai Bahar diumumkan sebagai pemenang anugerah kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular sebentar tadi.