‘Konsert Islamik Bulan Bintang VS Konsert Blackpink’, Penganjur; “Tambah Tempoh Operasi LRT”

Share

Penganjur Konsert Malam Bulan Bintang sedia maklum apabila konsert yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Mac depan sama tarikhnya dengan Konsert Blackpink World Tour iaitu pada 4 Mac depan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi berkata, pihaknya bagaimanapun telah melakukan perbincangan dengan beberapa pihak demi memastikan konsert berskala besar yang menampilkan penyanyi tempatan dan antarabangsa itu berjalan sempurna.

“Ketika kami mengumumkan tarikh konsert Malam Bulan Bintang yang jatuh pada tarikh dan lokasi sama dengan konsert Blackpink, kami menerima pelbagai reaksi daripada peminat Bulan Bintang, peminat penyanyi yang membuat persembahan dan peminat Blackpink sendiri.

“Mengambil kira maklum balas yang diterima, kami sebenarnya sudah melakukan perbincangan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad untuk menambah tempoh operasi Transit Aliran Ringan (LRT).

“Dalam masa sama, kami juga berharap peminat yang bakal hadir untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari kejadian.

“Sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku ketika pertembungan aksi final Piala FA di SNBJ dan konsert Kumpulan Dewa 19 yang berlangsung di Arena Axiata pada tahun lalu.

“Melihat situasi itu kami percaya semuanya dapat dikawal dengan baik. Malah kami juga sudah berurusan dengan pihak pengurusan Axiata Arena untuk menyediakan kawasan parkir berbayar untuk peminat konsert Malam Bulan Bintang,” katanya.

Dalam pada itu, Konsert Malam Bulan Bintang yang bakal membawakan muzik Islamik kontemporari dengan diiringi band orkestra terkemuka diketuai oleh Chaan bakal menampilkan barisan artis terkemuka tanah air dan Seberang.

Mereka ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick. Manakala tiket boleh dibeli secara online bermula dari RM49 hingga RM199. 

“Konsert ini menyasarkan audiens yang mempunyai gaya hidup moden dan urban, berumur sekitar 25 hingga 40 tahun. Malam Bulan Bintang akan dimeriahkan lagi dengan tempat duduk yang bersudut 360 darjah serta sistem bunyi 360 darjah.

“Ia bertujuan untuk memberikan penonton pengalaman bunyi yang berkualiti tinggi dan mengasyikkan. Sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis.

“Setiap tahun kami akan adakan sesuatu yang besar. Seperti contoh, tahun lepas kami muncul di papan iklan digital yang terpampang di persimpangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan ia menjadi bualan ramai.

“Tahun ini, kami mahu melakukan sesuatu yang dan berbeza. Jadi, timbul idea Malam Bulan Bintang menampilkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa. Jadi, untuk mengadakan konsert di Axiata Arena adalah satu cabaran yang perlu Bulan Bintang sahut,” katanya lagi.

Objektif konsert Malam Bulan Bintang adalah untuk melangkah keluar dari zon selesa dan ingin tampil berbeza berbanding jenama tempatan yang lain.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH