Bertemakan Glam Rock Solidariti Palestin, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Edisi Utara yang berlangsung di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang telah berjaya mencapai objektif konsert bagi mengumpul dana bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat Palestin!
MH difahamkan, dana melebihi RM30,000 itu akan disalurkan kepada Tabung Cinta Gaza Malaysia khusus buat saudara se-Islam di Palestin yang kini sedang bergolak dan bertarung nyawa menentang kekejaman rejim Zionis demi mempertahankan masjidil Aqsa yang merupakan Qiblat pertama umat Islam itu.
Jelasnya lagi, sebagai penyanyi ni adalah caranya tersendiri untuk turut sama mengimarahkan isu umat Islam yang ditindas di sana.
Ella berkata, dalam berhibur, para peminat turut dapat menyumbang sesuatu kepada warga Palestin sebagai tanda kita juga mengambil berat terhadap mereka.
“Konsert Jilid Akhir Puteri Kota diteruskan juga meski waktu saudara Palestin sedang berdepan situasi genting kerana, pada pandangan Ella, sebab dari Konsert ini kita dapat mengambil peluang untuk bersama-sama membantu Palestin.
“Kalau tidak apa cara lagi yang kita boleh? Jadi dari perspektif Ella sebagai penyanyi. Konsert ni memberi peluang kepada mereka yang hadir untuk memberi kesedaran untuk membantu saudara Islam di Palestin.
“Jadi ini masanya, bila lagi kita nak bersama dalam 14,000 hingga 15,000 orang tu, ini masanya! Dan melalui konsert ini juga, kita telah berjaya mengutip sumbangan lebih daripada RM 30,000 sewaktu Konsert berlangsung,” kata Ella ketika ditemui MH.
Melalui konsert berdurasi tiga jam itu, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Rock ini mendedikasikan segmen khas untuk konflik yang mendapat perhatian dunia itu.
Selain menzahirkan kesedihan atas apa yang berlaku dan mengibarkan bendera Palestin sebagai pembuka tirai persembahan.
Penyanyi bersuara serak basah itu turut mendendangkan dua lagu berjudul Kasih dan Penawar, sambil visual mengenai kemusnahan berlaku di Tebing Gaza ditayangkan di layar gergasi disediakan.
Sebagai pelengkap, bacaan doa memohon agar rakyat Palestin terus dilindungi, diikuti laungan takbir disempurnakan suami Ella iaitu Azhar Ghazali.
Sekadar info, usai melaksanakan konsert, keesokan harinya Ella turut melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Rumah warga emas Darul Hannan di Pulau Pinang untuk menyantuni dan menghiburkan komuniti orang tua disana.
Rock Queen turut memberi sumbangan berbentuk hiasan landscape bagi menceriakan lagi suasana Rumah Warga Emas Darul Hannan dan menaja makanan minum petang serta makan malam sebanyak 150 pax bagi penghuni dan staf penyeliaan rumah berkenaan.
Menurut Pengerusi Kelab Wanita Ikon Pulau Pinang, Dr. Linda Mat Hassin dan Ella, Kompleks Darul Hannan dipilih untuk menjayakan CSR ini kerana populasi warga emas paling ramai ditempatkan di Komples berkenaan.
Untuk rekod, Dr. Linda dan Ella sememangnya anak kelahiran Pulau Pinang. Meski tidak memperoleh peluang dan kesempatan untuk membesar di Pulau Pinang. Mereka kini tetap kembali ke negeri tanah tumpah darah mereka itu dan menabur bakti selayaknya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.