Selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil mengulas mengenai dirinya yang dilihat aktif di aplikasi sosial popular TikTok kebelakangan ini sebagai salah satu cara berkomunikasi dengan peminat.
Menurut Pak Nil,60, dia tidak melihat usia sebagai penghalang untuk sama-sama mencuba perkara trending yang menjadi kecenderungan khasnya di kalangan anak muda masa kini.
“Saya tak pernah buat-buat menari di TikTok. Sebab kalau tak ada TikTok pun saya memang tak reti menari. Jadi kita cuba terokalah apa kaedah yang boleh dilakukan.
“Misalnya kalau pandai pantun, berpantunlah. Kalau pandai masak, memasaklah. Konten di TikTok ada macam-macam, bercakap dengan kambing pun saya ada tengok,” katanya.
Pak Nil yang kini mempunyai lebih 114,000 pengikut di TikTok berharap konten positif yang dikongsikannya itu boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang.
“Ada ketikanya saya habiskan masa yang lama di TikTok sebab kebanyakan yang ada adalah konten. Saya sendiri suka kepada perkara sedemikian. Yang penting bagi saya apa yang ingin dilakukan itu biarlah bersesuaian dengan usia juga.
“Kalau saya buat sesi siaran langsung (live TikTok) misalnya, saya bersembang dengan pengikut sambil berlari atas treadmill. Dalam tempoh satu jam begitu.
“Kebanyakan yang tonton pula terdiri daripada golongan muda dan ada yang rasa kagum bila saya dapat baca komen sambil berlari.
“Kalaulah ada yang berfikiran bahawa ‘bila tua mahu jadi macam Pak Nil, umur 60 pun boleh berlari lagi.’ Harapnya itu boleh dijadikan inspirasi, insya-Allah,” katanya lagi.
Hos senior itu ditemui pada majlis Up Close & Personal With Pak Nil & Sesi Pengumumannya Sebagai Duta Nakada di Ibu Pejabat Primada, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai perlantikan Pak Nil selama dua tahun bermula sejak Mei 2021, Datuk Yap Kong Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu menjelaskan pihaknya memilih selebriti itu atas kredibiliti yang dimiliki.
“Beliau mempunyai imej yang sihat, ceria, peramah, suka memasak selain peka terhadap penampilan dan kesihatan. Lalu minat dan dedikasinya itu bertepatan dengan produk yang syarikat kami pasarkan.
“Dia juga masih kekal relevan dalam memikat hati ramai orang dalam bidang yang dilakukan. Hatinya juga sangat murni kerana sentiasa mahu membantu mereka yang memerlukan.
“Lihat saja ketika era pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu dan musibah banjir baru-baru ini, beliau antara yang tak betah duduk diam. Sebaliknya mahu membantu dengan menggunakan populariti dan kelebihan yang ada,” katanya.
Beroperasi sejak lebih dua dekad lalu, syarikat Nakada Group (M) diusahakan dua beradik, Datuk Yap Kok Heng dan Datuk Kok Siang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI