Lagu-lagu ikonik daripada drama Korea bakal dipersembahkan secara langsung di pentas Asia menerusi Konsert OST KOREA (KOSTCON 2025 TOUR).
Konsert berskala besar ini merupakan kerjasama antara Korea Management Federation (KMF), Hi Five Entertainment Sdn. Bhd., dan Kelebrity Worldwide Inc.
Konsert jelajah ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah pengalaman sinematik yang menggabungkan muzik dan penceritaan dalam suasana yang memukau.
Peminat K-drama kini berpeluang menikmati secara langsung lagu-lagu yang pernah menghidupkan emosi mereka di kaca televisyen.
Majlis menandatangani perjanjian rasmi telah berlangsung pada 14 Mac di Grand Walkerhill Hotel, Seoul. Acara ini diketuai oleh Korea Management Federation (KMF) di bawah pimpinan Pengerusinya, Yu Jai-woong, yang bertanggungjawab menyelia senarai artis terlibat.
Penganjuran konsert ini juga melibatkan syarikat hiburan global, Hi Five Entertainment Sdn. Bhd., yang diterajui Pengarah Urusan Kumpulan, Sean Pereira, serta Kelebrity Worldwide Inc. yang diketuai CEO David Shin sebagai firma produksi acara dan konsert antarabangsa.
Kolaborasi ini bertujuan memperluaskan jangkauan global muzik OST K-drama dan meningkatkan keterlibatan peminat antarabangsa terhadap gelombang Hallyu.
Dengan gabungan elemen muzik, visual, dan penceritaan yang penuh emosi, KOSTCON 2025 dijangka menjadi acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat K-drama.
Konsert ini akan menampilkan barisan artis terkenal yang pernah mencipta fenomena dengan lagu OST drama Korea mereka:
Baek Ji Young – That Woman (Secret Garden)
Heize – Can You See My Heart (Hotel Del Luna)
Lyn – With You
(Descendants of the Sun)Lee Mujin – Lilac (Love Your Enemy)
K.Will – Beautiful Moment (Masterpiece)
KOSTCON 2025 akan menjelajah lima bandar utama di Asia:
Jakarta, Indonesia – 2 Ogos 2025
Manila, Filipina – 6 Ogos 2025
Dubai, UAE – 5 September 2025
Bangkok, Thailand – 20 September 2025
Penang, Malaysia – 25 Oktober 2025
Setiap konsert akan menampilkan hos jemputan khas dari negara masing-masing bagi memberi pengalaman yang lebih dekat kepada peminat tempatan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hi Five Entertainment Sdn. Bhd., Sean Pereira, meluahkan keterujaannya terhadap projek istimewa ini.
“Kerjasama impian seperti ini membolehkan kami menembusi pasaran hiburan global dengan pendekatan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Projek ini berjaya direalisasikan dengan sokongan penuh daripada Korea Management Federation,” katanya.
Malah bagi Pengarah Kelebrity Worldwide Inc., Min-chul Kim, konsert ini juga dilihat mampu memperkukuhkan pengaruh Hallyu di peringkat antarabangsa.
“Konsert OST lima negara ini memberi peluang unik kepada penonton untuk menghidupkan semula emosi drama kegemaran mereka melalui pengalaman muzik dan visual yang mengasyikkan.
“Kami berhasrat untuk terus membawa fenomena K-drama ke tahap lebih tinggi,” katanya yang optimis melihat KOSTCON 2025 sebagai antata acara yang bakal menjadi acara bersejarah dalam industri hiburan Asia.