Krew PSY Maut Jatuh Ketinggian 20 Meter Ketika Sedang Alih Lampu Sejurus Konsert

Share

Satu lagi insiden melibatkan krew konsert berlaku apabila kali ini seorang pekerja dilaporkan meninggal dunia ketika sedang sibuk mengemas dan membuka kembali pentas konsert penyanyi Psy, Summer Swag 2022 di Stadium Gangneung, Korea Selatan pada Ahad.

Memetik laporan Allkpop, lelaki berusia 20-an berasal dari Mongolia itu terjatuh dari ketinggian 20 meter ketika sedang mengalihkan lampu di tapak konsert tersebut.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan namun dia mengalami serangan jantung sebelum disahkan meninggal dunia.

Pihak polis masih lagi menyiasat punca sebenar kemalangan itu berlaku.

Konsert Psy berlangsung sehari sebelum kejadian itu menimpa mangsa.

Minggu lalu, dua penari yang mengiringi persembahan kumpulan terkenal Hong Kong, Mirror mengalami kecederaan apabila skrin video gergasi (LED) menghempap mereka ketika sedang menjayakan persembahan.

Seorang mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Manakala, seorang lagi yang parah masih lagi dalam keadaan kritikal dan terbaharu, doktor memaklumkan dia mengalami lumpuh kekal walaupun sudah menjalani prosedur pembedahan sebanyak tiga kali selepas insiden terbabit.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar