Hiburan

Kritikan Sosial Dalam ‘Saka Perawan’ Kena Dengan Situasi Semasa, Ahmad Idham Tak Risau Jika Ada Yang Tersinggung

Share

Pengarah terkenal Dr. Ahmad Idham tidak menyangka kritikan-kritikan sosial yang dipaparkannya di dalam filem terbaru, Saka Perawan bersesuaian dengan beberapa situasi yang sedang berlaku di negara ketika ini.

Menurut Ahmad Idham, kritikan-kritikan tersebut hanyalah sebagai pengajaran dan bukan untuk ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Saya mengarahkan filem ini sekitar bulan November tahun lalu. Ketika itu, saya tidak merancang segala skrip dan dialog di dalam filem ini akan kena dengan situasi semasa.

“Sebagai pembikin filem, perkara yang paling dirisaukan sama ada filem tersebut masih relevan ketika penggambaran sehinggalah hari tayangan.

“Durasi untuk menyiapkan sesebuah filem menjangkau berbulan atau bertahun. Namun, nampaknya rezeki menyebelahi kami.

“Banyak yang berlaku dalam filem ini sedang terjadi ketika ini. Saya sudah jumpa formula yang tepat,” katanya kepada MH.

Ahmad Idham berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Saka Perawan, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dirinya sudah bersedia dengan sebarang tindakkan sekiranya karyanya itu ada menyinggung mana-mana pihak, ini respon Ahmad Idham;

“Saya sudah biasa berdepan dengan kritikan. Nama naik ke SPRM pun sudah selalu. Jadi, tiada masalah.

“Pada saya, tiada isu yang perlu dibangkitkan pun kerana saya bikin karya yang benar.

“Ketika ini, penonton suka perkara yang dekat dengan mereka. Kebanyakkan filem yang meletup saat ini kerana ia dekat dan nyata.

“Kita tak boleh lagi buat filem yang berpura-pura. Masyarakat kita sekarang sudah berfikiran terbuka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Idham turut memaklumkan misinya untuk membikin naskah ini adalah untuk memberikan peluang buat pelakon-pelakon lagenda kembali beraksi di layar perak.

“Kalau kita tidak menyedia platform kepada pelakon-pelakon lagenda kita berkarya, ke mana mereka akan pergi nanti? Sedangkan bakat mereka mahal.

“Saya dapat idea untuk memanggil mereka bila lihat mereka aktif di Tik Tok. Ibu Fauziah Nawi pula aktif di Facebook.

“Bila melihat komen-komen netizen di platform mereka, saya jadi tersentuh bila mereka menitipkan ucapan terima kasih kepada para pelakon senior kerana telah menghiburkan mereka sejak kecil.

“Mereka membesar dengan hiburan daripada pelakon lagenda ini. Jadi, kalau tiada platform, bagaimana mereka nak kekal relavan. Jadi, saya nak menyumbang semula kepada mereka,” akhirinya.

Terdahulu, Saka Perawan merupakan sebuah filem bergenre seram komedi yang dibintangi barisan pelakon seperti Azlee, Sophia Albarakbah, Isyariana, Nellisa Nizam dan Datuk Eizlan Yusof.

Filem terbitan Grand Brilliance itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Jun ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf