Trio legenda, KRU kembali ‘rujuk’ bagi mengubat kerinduan peminat mereka selepas hampir enam tahun menyepi.
Datuk Norman Abdul Halim, 52, berkata, keputusan itu dibuat Mei tahun lalu apabila melihat dua anggota lain yang juga adiknya iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim rancak berkongsi perkembangan muzik menggunakan teknologi.
“Saya masih ingat, pada tahun 2018, kami memang tiada perancangan nak bubar. Konsert Gergasi KRU25 sepatutnya menjadi sambutan ulang tahun KRU ke-25, walaupun konsert dibuat pada tahun ke-26.
“Cuma tiga minggu sebelum konsert itu berlangsung, Edry berkata sudah tidak mahu meneruskan lagi dan mahu berhijrah ke Manchester, England.
“Itulah sebenarnya, saya pun terkejut mereka mahu bubar tetapi saya bersetuju dengan Yusry, apa lagi yang kami ingin capai, menang anugerah, tour konsert, filem, semua sudah dibuat,” katanya.
Norman berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Single terbaru Voodoo di Courtyard Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, Yusry turut menjelaskan, keputusan untuk kembali bersatu bukan kerana desakan peminat, tetapi atas kehendak sendiri tanpa sebarang tekanan.
“Bila rujuk semula, kami sudah tiada tekanan, kami buat ini kerana kami mahu buat, bukan sebab peminat berharap untuk kami comeback,” kata Yusry.
Bagaimanapun, Edry mengakui bahawa peminat sering bertanya mengenai album baharu yang sentiasa menjadi penantian mereka.
“Kami tak nafikan hasrat peminat yang sentiasa bertanya bila mahu keluar lagi baru?
“Siapa yang tidak enjoy the love and attention. Jadi saya rasa a part of its adalah untuk peminat,” katanya.
Pada April 2018 lalu, KRU mengumumkan pembubaran kumpulan mereka selepas mengadakan konsert terakhir pada 6 Mei tahun tersebut.
Keputusan itu dicapai secara bersama, memandangkan ketiga-tiga anggota mempunyai perancangan tersendiri untuk meneruskan perjalanan kerjaya masing-masing.
Lagu Voodoo kini boleh didengar di platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, dan Spotify. Video muziknya kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi KRU Bros.