“Kualiti Teruk, Bayar RM7,000 Tapi Hasil Macam RM70…,” – Pengantin Instafamous Bengang! Tempah Kek Batu Swarovski, Dapat Manik Biasa?

Share

Pengasas kosmetik dan pempengaruh, Iddin Syah meluahkan rasa kecewa apabila kek majlis resepsi perkahwinannya yang ditempah berbeza daripada jangkaan dan tidak seperti apa yang dimahukan.

Menurut Iddin atau nama sebenar Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi, dia mengeluarkan kos sebanyak RM7,000 untuk mendapatkan kek dengan hiasan batu Swarovski itu.

Bagaimanapun, hasilnya didakwa mengecewakan dan tidak setimpal dengan harga dibayar.

Iddin yang juga pengasas produk kecantikan ESW dan isterinya, Farah Surieza melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka di sebuah hotel, Sabtu lalu.

“Majlis perkahwinan bukan selalu kita buat, jadi saya memang impikan kek berhiaskan batu Swarovski. Saya memang tidak pernah berkira dengan harga sebab semuanya saya lakukan untuk isteri yang selama ini bersama dengan saya memperjuangkan ESW.

“Kek yang saya dapat untuk majlis pada malam itu memang tidak seperti yang digambarkan. Kualiti sangat teruk, size juga kecil… sepatutnya kek itu berharga RM7,000 tapi hasilnya macam RM70 saja,”katanya.

Luahan tersebut dikongsikan ahli perniagaan ini menerusi Instagram beserta foto kek yang berkaitan.

Lebih teruk, dia turut mengetahui kek berkenaan hanya menggunakan manik biasa dan bukan batu Swarovski seperti diminta.

“Kek real yang boleh dimakan sangat kecik daripada kek Secret R*c*pe. Sangatlah tidak berbaloi. Yang lain hanya foam sahaja semata-mata, walaupun diminta dua tingkat kek real dan yang lain adalah dummy atau palsu.

“Design yang dihantar tidak seperti mana yang saya impikan dan hanya menggunakan sticker sahaja seperti kek yang sangat murah. Dijanjikan adalah batu Swarovski tetapi yang dapat hanyalah manik.

“Anda semua boleh menilai sendiri daripada gambar ini. Niat saya bukan nak jatuhkan mana-mana pihak tetapi saya tidak mahu perkara ini terjadi kepada orang lain dan supaya lebih berhati-hati ketika memilih vendor,” ujarnya.

Sementara itu, Iddin berkata dia terpaksa berkongsi luahan hati ini kerana mahu memberikan yang terbaik buat isteri tercinta sempena majlis resepsi mereka.

“Pada majlis yang penuh dengan kegembiraan dan malam bersejarah itu, semestinya saya inginkan yang terbaik buat isteri kesayangan Farah serta tetamu yang hadir.

“Walaupun nampak saya tersenyum sebenarnya malam itu saya sedikit kecewa dengan kek perkahwinan kami,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH