“Kuasa Viral Ni Boleh Bawa Kita Ke Arah Positif Dan Negatif,” – Duduk Di Kerusi Juri Suara Viral, Ini Pesan Misha Omar Buat 10 Para Pesertanya

Share

Program hiburan realiti nyanyian terbaru, Suara Viral bakal menemui penonton. Istimewanya, 10 barisan peserta terpilih mempunyai kerjaya tersendiri, namun, bakat suara yang dimiliki bukan biasa-biasa lagu pernah mencetuskan sensasi di dunia maya.

Bakal bersiana menerusi Astro Prima, ia bakal menyaksikan mereka saling bersaing menerusi pentas yang lebih besar.

 Kesemua mereka terdiri daripada enam peserta lelaki dan empat peserta wanita yang akan berentap mendapatkan gelaran juara menerusi persembahan mereka selama lapan minggu bermula esok.

10 peserta terlibat termasuk Bobby (Rider), Bella (Eksekutif Perhubungan Awam), Boy (Krew Studio), Jerry (Setiausaha), Soffwany (Polis) dan Azrul (Pegawai Lalu Lintas).

Sementara empat lagi peserta ialah Farid (Jurutera Mekanikal), Sulastrie (Polis), Ameem (Eksekutif) dan Farah (Tentera).

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, kesemua mereka berjaya melayakkan diri selepas menjalani sesi ujibakat yang diadakan Februari lalu.

“Kami ingin mengangkat bakat yang sebelum ini sekadar tular di media sosial dan bidang pekerjaan masing-masing ke skala yang lebih besar di platform televisyen pula.

“Lebih kurang 200 orang yang hadir ke sesi ujibakat. Mereka yang hadir mempunyai profesion tersendiri antaranya guru, tentera dan polis,” katanya pada sidang media Suara Viral secara virtual.

Menampilkan Datuk AC Mizal selaku hos, Suara Viral turut menampilkan penyanyi Misha Omar dan Akim Ahmad sebagai juri tetap.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Datuk AC menyifatkan konsep yang diketengahkan ini berbeza daripada rancangan hiburan seumpamanya.

“Menerusi nyayian awal ketika sidang media, saya dapat lihat ada kelainan daripada segi konsepnya. Ada yang pernah belajar dan sebaliknya.

“Akan tetapi andai mereka ambil apa yang dipelajari sepanjang program Suara Viral sepanjang lapan minggu bersiaran dan andai kata menjadi juara ia suatu yang baik sebab memang banyak beza di antara nyanyian yang viral menerusi video dan menyanyi di atas pentas.

“Tekanan yang dirasakan memang lain dari lain termasuk dari segi komen netizen dari minggu ke minggu. Nasihat saya adalah jadi profesional sebab kita tidak memaksa peserta untuk menyanyi. Mereka sendiri yang hadir.

“Menyanyi di atas pentas itu memang sukar dan banyak perkara yang kalian perlu belajar. Bukan saja dari segi nyanyian, tetapi juga dalam sisi teknikal, imej dan sebagainya. Anda sendiri yang nak menyanyi dan pastikan cari ilmu seterusnya buat yang terbaik,” katanya.

Misha Omar pula akui kuasa viral yang wujud boleh memberi impak yang baik dan sebaliknya.

“Kuasa viral ni boleh bawa kita ke arah positif dan negatif. Oleh kerana netizen boleh berikan respon secara langsung, ia buatkan kita yang bertanding berada di dalam tekanan.

“Apa pun, viral ke tidak ke, kita ingin jadi penyanyi yang baik itu yang paling penting. Kena tetapkan dalam hati apa yang kalian mahukan,” jelasnya.

Selain itu, seramai lapan orang Juri Duduk Rumah juga akan mengadili persembahan mereka yang terdiri daripada penyanyi Idayu, Bob Yusof, Sissy Imann, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain dan Ngektsai (influencer), serta pengamal media, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.

Format penjurian 70 peratus daripada juri tetap, manakala 30 peratus lagi juri di rumah.

Malah, setiap minggu juga akan ada penyingkiran bagi peserta yang mendapat markah terendah.

Suara Viral yang dibawakan oleh Nivea selaku penaja utama itu bakal bersiaran menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) setiap Rabu bermula 17 Jun ini pada pukul 9 malam.

Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan persiapan para peserta menerusi ‘Jom Intai Suara Viral’ yang akan ditayangkan pada Isnin dan Selasa pukul 6.55 petang bermula 15 Jun lalu.

Penonton juga serta boleh menyaksikan program  tersebut secara strim menerusi aplikasi Astro GO.

Ikuti sidang media virtual penuhnya di sini;

Published by
MH