Pelawak, Mohd Nasir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Achey berkongsi khabar duka apabila ahli keluarga termasuk ibunya, Ngaisah Hassan telah disahkan positif Covid-19.
Meski berat untuk menerima dugaan ini, namun pelawak berusia 35 tahun yang kini muncul menerusi single Yang Terindah ini tetap kuat dan tabah mengharungi ujian.
Dia pada masa sama turut memohon semua untuk menitipkan doa buat ahli keluarganya agar sembuh daripada wabak penyakit tersebut.
“Bismillah… Satu persatu datang, tak sempat aku usahakan vaksin untuk korang. Tapi takpa aku tau ALLAH sayang.
“Kuat atau tidak kita usaha habis habisan, erti #lawan yang sebenar. Doakan mereka, kami dan kita kuat,” tulisnya di Instagram.
Bintang kelahiran Segamat, Johor ini sempat menasihati semua moga sentiasa menjaga diri.
“Korang semua jaga diri tau, time to redha and fight…#covid_19 #covidisreal,” tulisnya lagi.
Sementara itu menerusi satu posting yang dikemas kini, Achey turut berkongsi rakaman yang dilakukan secara panggilan video bersama ibu tersayang.
Terdahulu beberapa minggu lalu, Achey mengalami kecederaan selepas motorsikal yang ditunggangnya hilang kawalan sewaktu ingin mengutip buah durian.
Foto: Instagram Achey