Awal semalam, penyanyi Fauziah Latiff ada memberi dedikasinya buat kedua arwah orang tuanya dan permata seni yang baru sahaja meninggal dunia pada tengah malam Khamis, Dato’ Nassier Wahab.
Perkongsian tersebut dimuat naik penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu itu menerusi Instagram.
“Ya Allah Ya Tuhanku, tiada lain yang ku pohon dari rahmatMu Ya Allah. Terima kasih di atas segala pemberianMu Ya Allah.
“Ayah… Mak… Nyawa dunia dan akhiratku. Terima kasih di atas kelahiran ini. Ayah, kerinduan yang tiada batasnya hingga hujung nafasku. Mak, nyawa dan nafasku yang terakhir. Terima kasih Mak Ayah, semoga tenang di sana Al-Fatihah
“Hari ini juga saya kehilangan seorang yang saya hormati dan kasihi. Al-Fatihah untuk Abangku, Nassier Wahab.
“Kepada keluarga, sahabat dan rakan-rakan di sini yang mengenali dan sentiasa bersama, terima kasih di atas segalanya.
“Di sini saya juga memohon keampunan jika ada segala kesalahan dan kesilapan atau yang menyinggung perasaan. Kupohon kemaafan. Halal makan dan minum,” tulisnya panjang lebar.
Serentak dengan perkongsian tersebut, rata-rata peminat turut mendoakan insan yang telah pergi buat selama-lamanya.
Terdahulu lapor Awani, 1 Jun lalu, Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kirinya, setelah mengalami kesakitan sejak lima tahun lalu di bahagian gusi.
Selepas pembedahan tersebut, penyanyi lagu Sekali Aku Jatuh Cinta itu berehat buat satu tempoh sementara tahap kesihatannya kembali pulih.
Terdahulu, pada April 2018, Allahyarhyam juga pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.
Arwah pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan.
Foto: Instagram Fauziah Latiff
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI