Kurang Dapat Undi Dalam Dansa Dan Sing, Raja Syahiran Jelaskan Situasi Sebenar – “Tidak Menyalahkan Mana-Mana Pihak…”

Share

Akur akan takdir, meski telah memberikan persembahan terbaik setiap minggu dan mendapat pujian juri, namun Raja Syahiran sering ‘tewas’ pada undian online.

Tidak menafikan kemunculannya sebagai peserta terakhir menyebabkan penonton tidak dapat menilai mutu tarian dan undian terus ditutup sejurus tamat  persembahan, namun dia tetap reda.

“Undian bukan hanya daripada peminat namun terbuka kepada semua yang menonton Dansa Dan Sing.

“Kami tidak suka mendesak mereka untuk mengundi, jika kami berhak, mereka tetap akan undi. Kami tidak boleh paksa mereka sukakan persembahan kami.

“Mungkin faktor kami selalu membuat persembahan terakhir dan undian terus ditutup sejurus selesai persembahan menyebabkan markah undian online kurang memberansangkan.

“Namun kami tidak menyalahkan mana-mana pihak lebih-lebih lagi pihak produksi, mengikut pemahaman, persembahan kami memerlukan persiapan dan set up yang besar, jadi lebih senang jika menjadi peserta terakhir.

“Kami berpuas hati dan mereka ada sebab mengapa letakkan kami sebagai peserta terakhir,” jelasnya kepada MH.

Raja Syahiran dan 2Twenty2 Squad sekadar menduduki tangga kelima pada minggu kelima Dansa Dan Sing dengan jumlah markah 100.7 peratus.

Rancangan Dansa Dan Sing telah dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Hady Mirza.

Sementara guru tari, Linda Jasmine dan pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi kepercayaan sebagai juri tetap.

Konsert minggu ini yang bertemakan ‘Trademark, pelakon dan penyanyi Mark Adam diundang selaku juri jemputan.

Program realiti tarian ini ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).

Published by
Noraini Abd Wahab