Hiburan

Kurang Persediaan Waktu Temu Bual, Pihak MeleTOP Mohon Maaf Kepada Skuad Sepak Takraw Negara

Share

Selepas dikritik susulan tindakan hos yang dikatakan seperti tidak membuat persiapan rapi ketika sesi temu bual, pihak produksi program, MeleTOP tampil membuat permohonan maaf kepada pasukan sepak takraw negara.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan pada Khamis, pihaknya mengakui kesilapan tersebut dan ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua pemain dan jurulatih yang hadir ke program MeleTOP, Selasa lalu.

“Kami di MeleTOP amat berbangga dengan kejayaan pasukan kebangsaan dalam Piala Dunia Sepak Takraw. Jadi, dengan rasa besar hati telah mengundang mereka Selasa lalu.

“Dikesempatan ini, kami ingin memohon maaf kepada pasukan kebangsaan Farhan, Haziq, Azlan, Syahir dan jurulatih Zulkarnain Arif serta semua peminat dalam sesi temu bual yang kelihatan kurang persediaan,” tulis pihak produksi menerusi kenyataan yang dikongsikan di Instagram.

Pada masa sama, pihak produksi juga berjanji akan memperbaiki kesilapan tersebut pada masa akan datang agar situasi sama tidak berulang lagi.

“Kami akur dengan kekhilafan dari pihak kami atas kekurangan dalam melakukan persiapan dengan lebih terperinci untuk sesi temubual ini.

“Kami akan mengambil iktibar dari perkara ini dan akan menambah baik di masa akan datang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan atas profesionalisme mereka dan kesudian untuk hadir ke Meletop.

“Sekali lagi kami mengucapkan tahniah kepada pasukan kebangsaan atas pencapaian cemerlang mereka,” kongsinya.

Terdahulu, skuad sepak takraw negara mencipta sensasi selepas berjaya muncul juara pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bagi acara Regu dan Double Lelaki.

Skuad negara berjaya menewaskan Thailand di kedua-dua acara final di hadapan penyokong setia negara di Stadium Titiwangsa.

Bagaimanapun, hasrat untuk mencipta hatrik tidak kesampaian apabila skuad kendalian Ahmad Jais Baharun tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi final regu berpasukan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf