Pelakon, Iedil Dzuhrie menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan filem lakonannya yang berjudul La Luna dibikin untuk mempersenda golongan agamawan.
Menurut Iedil atau nama sebenarnya Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin, La Luna merupakan sebuah filem kritikan sosial tentang realiti yang berlaku dikalangan masyarakat hari ini.
“Saya pun tak faham tentang isu yang berbangkit. Ramai yang menganggap filem ini negatif rapi sebenarnya mereka tak tonton pun. Mereka hanya melihat klip-klip yang dimuat naik di media sosial.
“Jika melihat filem ini secara keseluruhan, sebenarnya ada mesej yang lebih menarik. Kita bukan bercerita tentang agamawan tapi lebih kepada ketidakadilan yang berlaku di dalam masyarakat.
“Ini merupakan sebuah filem dokumentari sosial dan kita bukan menyasarkan golongan agama. Ia merupa realiti kehidupan bila seseorang diberikan kuasa, mereka menyalahgunakannya.
“Watak saya sebagai Ustaz Fauzi yang benar-benar mewakili seorang agamawan yang bertanggungjawab serta adil kepada masyarakat dan agama. Kenapa watak ini tidak diperkatakan pun? Mereka tonton atau tidak filem ini?,” katanya kepada MH.
Iedil berkata sedemikian ketika ditemui di acara pertunjukkan fesyen Amber x Anna Jobling baru-baru ini.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon Indonesia, Prisia Nasution ini tetap menerima segala teguran dengan hati yang terbuka.
“Tak mengapalah, itu merupakan hak masing-masing dan saya terima. Saya juga sudah berborak dengan pengarah dan hal ini memang sudah dijangka.
“Pada akhirnya, apa yang kami perjuangkan adalah filem ini punyai mesej yang tersendiri.
“Secara luaran, mungkin seseorang itu berpakaian seperti orang agama tapi apa yang kami cuba dedahkan adalah hati mereka,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Iedil juga teruja filem ini mendapat respon yang baik daripada penonton di Indonesia.
“Waktu ditayangkan di Indonesia, masalah seperti ini tidak berlaku sama ada daripada sisi pihak haluan kanan dan kiri. Pada mereka, ini sebuah filem yang telah digarab dengan cantik.
“Jarang mereka menonton filem dokumentari sosial tentang masyarakat di kampung yang memaparkan tentang masyarakat setempat.
“Mesej dalam filem ini juga memang kena batang hidung sendiri. Hal ini memang berlaku,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Iedil turut berharap agar penonton di Malaysia dapat lebih terbuka dengan genre filem seperti ini.
“Di Malaysia ini, sudah ada golongan yang terbuka kepada filem-filem.
“Jika filem seperti ini dibuat oleh orang luar misalnya Hollywood, mereka boleh sahaja terima tapi kenapa bila orang kita sendiri yang buat, kenapa terasa?
“Mungkin ini hanya permulaan. Sudah banyak pengarah kita yang buat filem tentang kritikan sosial. Mungkin lama-kelamaan penonton kita akan faham,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.