Filem animasi Aladdin yang mula ditayang pada 1992 merupakan antara filem animasi ikonik Walt Disney yang masih kekal relaven ditonton sehingga sekarang.

Lantaran itu, setelah lebih hampir 27 tahun, Walt Disney akhirnya memutuskan untuk menghasilkan semula (remake) filem Aladdin tetapi kali ini versi manusia sebenar.

Walaupun ia merupakan sebuah filem remake, namun elemen pembaharuan yang ingin diterapkan tampak lebih segar terutamanya daripada segi pemilihan pelakon.

Malah, sinematografi yang cuba dipaparkan melalui filem ini turut kelihatan lebih realistik berlatar belakangkan tanah arab iaitu Kota Baghdad seawal abad ke-20.

Seperti yang diketahui umum, Aladdin mengesahkan tentang seorang pencuri yang bermaharajalela di sebuah daerah kecil di Kota Baghdad yang dipanggil Agrabah.

Aladdin diceritakan telah bertemu dengan sebuah lampu ajaib lalu berkawan dengan seorang jin.

Dia turut berpeluang meminta tiga hajat sebelum dapat bertemu dengan tuan puteri jelita yang dikenali sebagai Princess Jasmine.

Pastinya, Aladdin kali ini menjanjikan aksi yang lebih menarik daripada hero Mena Massoud (Aladdin) di samping gandingan hangat bersama Naomi Scott (Princess Jasmine), Will Smith (Genie) dan Marwan Kenzari (Jafar).

Apa yang menariknya, pelakon A-list Hollywood, Will Smith bakal melakonkan watak Genie yang diketahui umum memiliki keperibadian yang lucu.

Bagi watak Princess Jasmine pula, Naomi bakal menggayakan beberapa persalinan mewah sepanjang filem tersebut berlansung yang jelas sekali berbeza dengan filem animasi Disney Aladdin yang cuma menampilkan Princess Jasmine dalam persalinan ala punjabi berona biru kehijauan.

Dalam pada itu, filem Aladdin ini turut digambarkan penuh berwarna-warni sesuai dengan latar filemnya yang berunsurkan kehidupan gah zaman dahulu kala sekitar negara timur tengah.

Bagi peminat di Malaysia pula, lagu tema filem Aladdin nyanyian asal Zayn Malik dan Zhavia Ward berjudul A Whole New World akan dinyanyikan semula dalam versi Bahasa Melayu oleh Shila Amzah dan Hael Husaini.

Filem Aladdin dijadual bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula pada 24 Mei 2019.

Sumber/Foto: Entertainment Weekly, Instagram Aladdin