“Lagi Pula, Mereka Tidak Ada Di Tempat Kejadian, Jadi Tak Tahu Apa Yang Berlaku,” – Ning Baizura

Share

Sedar sepotong video pendek nyanyiannya menjadi tular di media sosial, penyanyi terkenal Ning Baizura menyifatkan tindakan menularkan klip berkenaan tidak munasabah selain menganggap ia seolah-olah sengaja mahu menjatuhkan reputasinya.

Menerusi video tersebut, memaparkan Ning, 46, atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah seolah-olah tidak mampu menyanyikan lagu hitsnya, Awan Terpilu dengan baik di dalam sebuah persembahan, baru-baru ini.

“Sebenarnya saya buat persembahan selama empat hari berturut-turut. Setiap malam saya kena nyanyi 20 lagu, dah macam buat konsert.

“Tapi, dari dulu lagu setiap kali menyanyikan lagu Awan Terpilu saya memang akan sebak. Ini kerana saya terkenangkan arwah ayah. Berdasarkan video yang tular, itu adalah persembahan saya pada malam terakhir.

“Lagu itu pun adalah lagu yang terakhir. Penonton yang hadir pada malam itu kebanyakannya peminat. Mereka turut merasai perasaan saya yang sebak selain itu juga persembahan terakhir saya.

“Sesiapa yang menyanyi dalam keadaan sebak memang suara susah nak keluar. Itulah yang saya lalui. Saya pula memang kalau menyanyi akan beremosi terutamanya kalau lagu Awan Terpilu ini.

“Peminat yang biasa menyaksikan persembahan saya memang tahu perkara ini dan selalu saya kongsikan betapa lagu ini penuh makna pada diri saya.

“Jadi, saya berasakan mereka yang tularkan video itu adalah tidak munasabah. Tindakan itu lebih kepada nak mencari kelemahan dan cuba nak menjatuhkan saya. Lagi pula, mereka tidak ada di tempat kejadian, jadi tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Ning menambah, ada banyak lagi persembahannya yang bagus dan jauh lebih baik daripada itu tapi tidak ditularkan.

“Saya mahu meggunakan tular ini untuk positifkan semula apa yang berlaku. Kalau betul-betul nak dengar lagu ini kena datang persembahan saya pada masa akan datang. Kena tengok sendiri dan nilaikan.

“Persembahan yang bagus tak ada pun nak ditunjuk, tidak pula nak ditularkan. Di TikTok orang suka mencari negatif, kekurangan dan tak munasabah apatah lagu buat sesuatu yang tak senonoh.

“Saya bukan orang sebegitu yang nak ambil peluamg macam tu. Kepada mereka yang bergelar budak baru nak up (BBNU), lain kali datang tengok betul-betul persembahan. Bukan tularkan daripada video orang dan sunting bahagian tertentu,” katanya lagi.

Untuk berita hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber: Harian Metro

Published by
MH