Penyanyi Indonesia, Ghea Indrawari akui berbesar hati apabila karya-karya ciptaannya berjaya membantu ramai orang untuk keluar daripada tekanan melampau dan memberikan perspektif baru dalam kehidupan.
Menurut Ghea, dia juga terkejut bila ada pihak yang mendedahkan lagu-lagunya itu telah menyelamatkan mereka daripada perbuatan membunuh diri.
“Banyak sekali respon yang mengatakan mereka terkesan dengan lagu-lagu saya. Mereka sangat terbuka untuk menceritakan pengalaman sulit mereka kepada saya.
“Malah, ada juga yang memberi tahu, lagu saya ini telah menyelamatkan mereka daripada terfikir untuk membunuh diri dan keluar daripada rumah sakit jiwa.
“Saya dapat banyak ucapan terima kasih.
Buat mereka yang tidak merasakan apa yang saya rasa, lagu ‘self love’ dan ‘mental health’ ini akan terdengar ‘cringe’.
“Untuk mereka yang memerlukan pula, mereka akan merasai kekuatan, rasa didengar dan layak untuk dicintai,” kata kepada MH.
Penyanyi lagu Jiwa Yang Bersedih itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran program Explorasi Usahawan Wanita yang berlangsung di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada Isnin.
Dalam pada itu. Ghea turut berpandangan anak muda masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi dengan adanya platform media sosial yang digunakan tanpa kawalan.
“Dizaman ini, ada banyak tuntutan terhadap anak muda. Apatah lagi dengan adanya sosial media yang boleh menjadi pisau bermata dua. Jika kita gunakan ke arah positif, ia akan menjadi sesuatu yang baik.
“Namun, bila kita terdedah dengan kehidupan orang lain, kita akan kurang bersyukur dan selalu membandingkan pencapaian dengan orang lain.
“Mungkin di mata orang lain kita ada banyak kurangnya. Saya merasakan sangat sulit untuk menjadi anak muda di zaman sekarang.
Saya harap lagu-lagu saya dapat membantu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ghea mendedahkan dia juga tidak terlepas untuk mendapatkan komen-komen negatif daripada netizen yang kurang senang dengan segala tindak-tanduknya.
“Sebagai penyanyi, ada yang kata suara saya seperti tikus. Malah, penampilan saya juga dikritik.
“Pada saya, orang yang membenci akan terus membenci. Akan selalu ada ruang untuk orang membenci kita.
“Saya juga manusia biasa. Kalau saya sedang gembira tetapi terlihat komen negatif, saya akan abaikan. Jika saya sedang sedih, saya akan sekat akaun tersebut dan menangis,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ghea akui teruja apabila bakal terlibat dengan acara Konsert Farmasi Soundzation yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 30 November depan.
Konsert ini juga bakal menjadi pengalaman pertama Ghea untuk membuat persembahan dan bertemu dengan peminat di Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.