Berita

Lagu Mila Jirin Sedap, Ramai Mahu Lihat Sandera Lolos Ke AJL39 – ” Siapa Yang Tak Mahu…”

Share

Selepas kira-kira sebulan melancarkan muzik video lagu terbaharu berjudul Sandera, Mila Jirin menerima maklum balas baik terhadap naskhah berkenaan dan sehingga kini, ia sudah ditonton lebih 25,000 tontonan di YouTube.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pendengar menyambut baik ‘comeback’ penyanyi dan usahawan berkenaan menerusi lagu hasil ciptaan Amylea Azizan itu.

Malah ada yang menyifatkan Sandera sebagai tepat dengan bersesuaian karektor vokal Mila selain ada yang mahu melihat lagu tersebut sama-sama bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) nanti.

Mengulas mengenai komen yang diberikan peminat, Mila merasakan ia sebagai satu pujian yang besar, lebih-lebih lagi baginya yang saja mahu kembali mencipta nama dalam industri seni muzik.

“Siapa yang tak mahu berada di pentas gah seperti AJL? Ia adalah impian bagi kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu itu.

“Saya yakin susunan muzik Amylea memberi majis buat sesiapa saja yang mendengar. Yang penting saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu,” katanya.

Sementara itu, Mila turut menjelaskan dia kini mahu memberi tumpuan lebih kepada nyanyian selepas 10 tahun berehat bagi membina empayar perniagaannya, Bizzmilla.

Malah Mila mahu mengembangkan bakat bukan hanya sekadar menyanyi tetapi juga mengintai potensi dalam perniagaan bidang seni pula.

“Setahun atau dua tahun lalu, saya ada berkongsi video menyanyi di media sosial dan ramai yang tanya kenapa sia-siakan bakat.

“Seperti yang semua tahu, saya cuba pujuk suami. Walaupun pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan, tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi. Alhamdulillah dia izinkan.

“Kerana itu saya gunakan peluang yang ada. Saya nak, hadirnya saya kembali dalam industri dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi. 

Tambah Mila, dia juga berharap mempunyai sebanyak lagu yang boleh agar dapat menunaikan impiannya menganjurkan ‘showcase’ A Night With Mila Jirin’ di Bizmilla Banquete Hall.

Sementara itu, bercakap mengenai Sandera, kata Mila, perkataan itu sendiri bermaksud tentang seseorang yang terperangkap dan menjadi tebusan kepada sesuatu.

“Kalau dikaji semua lirik ini, ia adalah satu perasaan yang terperangkap disebabkan perlu memenuhi kehendak orang tang dia sangat cintai. Terkejut juga baca lirik-lirik ini. Amylea pandai penggunakan bahasa yang indah dalam lagu-lagunya.

“Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawakan dan penjiwaan nyanyian.

“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman dahulu juga, proses rakaman hanya diambil selama 5 jam saja,” katanya lagi.

Sandera sudah pun dilancarkan di semua platform digital sejak Mac lalu.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH