“Menjadi Ibu Tunggal Sekelip Mata, Merubah Segala,” – Laila Nasir Cekal Besarkan 2 Anak Lelaki Sejak Kematian Suami

Share

Pelakon Laila Nasir, 52, tidak menafikan perjalanannya dalam membesarkan dua anak lelaki sejak kematian suami tercinta kira-kira lapan tahun lalu bukan perjalanan dan pilihan mudah.

Bagaimanapun, dramatis ini mengakui fasa tersebut menjadikannya sebagai wanita dan ibu yang lebih kuat meski pada awal ia suatu yang sukar.

“Pada awalnya agak sukar sukar untuk saya untuk membahagikan masa antara kerjaya seni dan tanggungjawab. Manalah nak uruskan anak dan ‘shooting’ selain berniaga.

“Menjadi ibu tunggal sekelip mata selepas suami meninggal dunia merubah segala-galanya. Tapi ketika itu saya bernasib baik memandangkan kedua anak sudah bersekolah menengah. Jadi mereka sudah pandai bawa diri.

“Saya juga menjaga mereka tanpa bantuan sesiapa. Waktu itu ada ketika saya bagai lemah dan ‘lost’. Tapi anak jadi suntikan semangat untuk saya kerja lebih kuat.

“Tambah pula perjalanan mereka masih jauh dan saya tempat bergantung,” katanya.

Dia bagaimanapun cuba kekal positif meski akur dengan skeptikal gelaran sebagai ibu tunggal.

“Bukan senang nak mengharungi hidup tanpa suami. Dengan pandangan itu ini daripada masyarakat. Tapi saya tak larut dengan semua itu. Saya tanamkan semangat positif dalam diri.

“Dalam soal membesarkan anak, saya pasti mahukan yang terbaik untuk mereka tanpa fikir lelah. Kalau kita tak buat itu ini, ibarat takkan ada yang lakukan semua diingini. Jadi, belajarlah buat semua sendirian.

“Keluarga saya terutama emak jadi nadi dan semangat. Mak terutamanya banyak membantu saya menjaga anak dan bagi semangat. Doa ibu itu kan sangat mukjizat,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai perkembangan anak-anaknya, Laila mendedahkan anak bongsunya kini mulai berminat untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Cuma yang bongsu itu lebih kepada minat kerja belakang tabir dan bercita cita nak jadi pengarah kelak. Dia baru tamat pengajian dalam jurusan perfileman di Kuala Lumpur Film School.

“Sekarang tengah menjalani latihan praktikal di bawah seliaan Adlin Aman Ramlie. Sebagai ibu saya tumpang bangga dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.

Sementara itu, bintang drama Nur yang baru sahaja menjadi antara penerima anugerah Kelantan Business Ikon Awards pada 17 Disember lalu itu juga opitimis dalam mengusahakan jenama perniagaan minyak wangi dan pelbagai sambal bilis sejak 2014.

“Dengan dunia berlakon dan berniaga itulah saya dapat membesarkan anak serta meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang mengusahakan T’Lasabella Perfume by Lailanasir dan T’Lasabella Kitchen by Lailanasir.

Dalam pekerkembangan lain, Laila baru sahaja selesai penggambaran drama Cinta Yang Tertangguh arahan Amie Maziah.

Drama terbitan Suhan Movie Production sebanyak 20 episod itu turut dibintangi Mustafa Kamal, Sweet Qismina dan Luqman Hafidz.

“Kemudian saya masuk ke set penggambaran drama Seindah Cinta pula juga sebanyak 20 episod pula alhamdulillah,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH