Berita

Lancar Perang Terhadap Yang di-Pertuan Agong, Hukuman Mati Penceroboh Lahad Datu 11 Tahun Lalu Kekal

Share

Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina yang terlibat dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, pada tahun 2013.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh ketujuh-tujuh individu tersebut.

Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, Atik Hussin Abu Bakar, 52, Basad H. Manuel, 49, Virgilio Nemar Patulada, 59, Al Wazir Osman, 68, Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75.

Datu Amirbahar Hushin Kiram merupakan anak saudara kepada Jamalul Kiram yang mengaku dirinya sebagai Sultan Sulu.

Dalam keputusan yang dibacakan, Hakim Tengku Maimun menyatakan,”Permohonan kesemua pemohon ditolak dan hukuman mati dikekalkan.”

Turut bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang berlaku antara 12 Februari hingga 10 April 2013 menyaksikan pertempuran antara kumpulan penceroboh dengan pasukan keselamatan Malaysia.

Dalam insiden berdarah itu sembilan anggota keselamatan Malaysia terkorban dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Ekoran kejadian ini, sebuah filem inspirasi kisah benar telah dihasilkan dan diberi judul Takluk : Lahad Datu. Filem arahan Zulkarnain Azhar dan dibintangi nama besar seperti Syafiq Kyle, Riezman Khuzaimi dan Eman Manan ini mula ditayangkan kepada umum bermula 22 Ogos yang lalu.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen