Hiburan

“Lantang Boleh, Kena Tanggung Risiko,” – Ini Kata Zizan Razak Isu Kaka Azraff

Share

Pelakon dan pelawak, Zizan Razak bersimpati dengan nasib yang menimpa rakan artis, Kaka Azraff apabila kontraknya bersama syarikat rakaman telah ditamatkan kerana lantang bersuara mengenai konflik yang berlaku di Palestin.

Menurut Zizan, dia memuji usaha Kaka dan percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“Saya mengambil maklum tentang apa yang berlaku kepada Kaka tapi tidak secara terperinci. Bila dia diperlakukan sebegitu, saya juga kesiankan dia.

“Namun, rezeki milik Allah. Sebagai orang Islam, kita sedih bila umat Islam di Palestin diperlakukan dengan kejam.

“Bila Kaka memilih untuk melantangkan pendapatnya, itu hak dia,” katanya kepada MH.

Zizan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program The Masked Singer Malaysia musim ke-4 (TMSM4) yang berlangsung di Vivatel, Cheras pada Rabu.

Bagaimanapun, Zizan berpandangan semua pihak bebas untuk bersuara namun harus berfikir juga mengenai impak yang bakal ditanggung.

“Pada saya, strategi itu ditangan kita. Kalau kita nak perjuangankan sesuatu di dalam ‘rumah’ orang lain yang bukan hak milik sendiri, kita harus berjaga-jaga.

“Kita harus berfikir sama ada perlu lantang atau tidak. Kalau di ‘rumah’ atau platform kita sendiri, kita bebas bercakap. Jangan sampai merosakkan kerjaya kita sendiri.

“Allah tahu niat dan kerisauan kita ditujukan kepada siapa. Selebihnya kita yang menyusun strategi sendiri. Saya amat memuji tindakan Kaka itu. Semoga dia terus maju jaya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, aktor berusia 39 tahun itu berkata dia lebih selasa untuk tidak mempertontonkan semangat solidaritinya kepada umum.

“Saya rasa, apabila saya nak buat sesuatu, saya lakukannya kerana Allah. Saya tak perlu nak menguar-uarkan. Saya buat untuk diri saya sendiri.

“Segala usaha saya dilakukan dengan seikhlas hati. Apapun, hak sebagai orang Islam tetap harus kita perjuangkan.

“Namun, terserah kepada cara masing-masing. Yang penting Allah dan diri sendiri tahu niat kita. Kita jalankan sahaja tanggungjawab kita,” akhirinya.

Sebelum ini, Zizan pernah berduet dengan Kaka menerusi lagi Bawa Aku Pergi.

Terdahulu, Zizan merupakan antara sembilan selebriti yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi juri tetap di program ini.

Antara selebriti lain yang turut terpilih termasuklah Datuk Aznil Haji Nawawi, Erra Fazira, Elly Mazlein, Nabila Huda, Rozita Che Wan, Sherry Alhadad, Michael Ang dan Angah Raja Lawak.

Sementara itu, Datuk AC Mizal pula kekal diposisinya selaku pengacara.

Seramai 14 maskot yang bertemakan flora, fauna dan makanan tempatan bakal bersaing merebut gelaran juara.

Menariknya, buat julung kalinya, TMSM4 bakal bersiaran secara langsung sekaligus menjadi negara kedua yang berani menyahut cabaran tersebut selepas Korea Selatan.

Program ini bakal ditayangkan bermula 17 Disember ini, pada setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Warna dan boleh distrim menerusi platform Astro Go.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf