Larangan Rokok Kepada Individu Yang Lahir Lepas 2005 Perlu Diperhalusi, Ada Langkah Lain Lebih Praktikal & Realistik?

Share

Kerajaan ketika ini sedang dalam usaha merancang untuk mengharamkan produk tembakau terhadap generasi akan datang dengan melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005.

Malah, akta baharu yang dikenali sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Merokok juga akan diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menggantikan undang-undang kawalan tembakau sedia ada di bawah Akta Makanan 1983.

Ini bermakna golongan yang berusia 17 tahun hari ini tidak akan dapat membeli produk tersebut secara sah dari segi undang-undang apabila mereka mencapai umur tertentu untuk mula merokok pada tahun depan.

Foto: Bernama

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, akta ini juga akan dikenali sebagai Generational End Game. Ia juga akan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser.

Namun begitu, timbul pula persoalan, sejauh manakah keberkesanan akta ini? Adakah ini sahaja jalan terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas asap rokok (smoke-free nation).

Mungkin terdapat beberapa aspek lain yang harus diambil kira sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksakan akta ini. Sedar atau tidak, perlaksaan undang-undang ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi aktiviti penyeludupan rokok haram pada masa akan datang.

Secara tidak langsung, aktiviti perdagangan rokok seludup bakal menjadi halangan terbesar di dalam melaksanakan larangan menyeluruh kepada rokok dan merokok.

Permasalahan ini juga akan menyukarkan lagi pihak berwajib untuk memantau dan mengawal aktiviti pemerdagangan melibatkan produk tembakau ini.

Lantaran itu, selain menguatkuasakan akta, kerajaan juga sebenarnya boleh mempertingkatkan lagi kesedaran menerusi strategi pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau atau ‘tobacco harm reduction’ (THR).

Kaedah ini sebenarnya kian popular di seluruh dunia dalam membantu menggalakkan perokok tegar untuk berhenti merokok melalui pengenalan produk alternatif bebas asap rokok yang kurang mudarat seperti rokok elektronik (vape), produk tembakau dipanaskan (heated tobacco product, HTP) dan pelekat nikotin.

Pendekatan ini sebenarnya dilihat lebih realistik berbanding dengan kaedah-kaedah yang lain buat masa ini.

Umum mengetahui, meminta para perokok tegar untuk berhenti merokok secara mengejut sememangnya satu permintaan yang agak sukar. Ketagihan ini sebenarnya memerlukan waktu dan proses yang betul sebelum tubuh mereka mampu mengadaptasi dengan perubahan.

Antara langkah awal yang boleh diaplikasikan adalah dengan mengamalkan produk alternatif bebas asap rokok. Selain meminimakan risiko penyakit, langkah ini sebenarnya mampu mengurangkan pembebasan asap berbahaya ke udara.

Memetik laporan Astro Awani, menerusi satu kajian yang dikendalikan oleh pakar kardiologi, Dr Konstantinos Farsalinos, biarpun formaldehid turut dibebaskan menerusi e-rokok, kadarnya jauh lebih rendah berbanding rokok tembakau.

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respitori Prof Datuk Dr Abdul Razak Mutallif menjelaskan kandungan nikotin yang rendah dalam e-rokok mungkin menjadi penyebab mereka yang beralih daripada rokok tembakau mendapati selera mereka mungkin bertambah.

Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) seperti yang dilaporkan akahbar Utusan, 88 peratus daripada pengguna vape yang sebelumnya menghisap rokok, telah berjaya berhenti merokok.

Tinjauan sama juga mendapati 79 peratus yang kini menggunakan vape dan menghisap rokok biasa pada masa yang sama telah mengurangkan bilangan rokok yang dihisap sejak menggunakan vape.

Konklusinya, semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan misi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas asap rokok dapat dirialisasikan dan bukan hanya sekadar cakap kosong.

Sumber: Astro Awani & Utusan

Published by
Aizam Manaf