Berkongsi kembali detik penghijrahan, jelas pelakon dan usahawan, Serina Redzuawan, dia mula mempersoalkan dugaan yang diterima selepas bahtera perkahwinan mula goyah.
Kes perebutan anak menjadi kemuncak kepada permasalahan dalam hidupnya.
Jelas Serina, perceraian yang berlaku menyebabkannya mula muhasabah diri dan merenung kembali di mana kesilapan.
“Tiada orang yang berkahwin, nak berpisah. Ketika diuji, saya bertahan lama juga sebenarnya. Dalam keadaan perkahwinan yang tidak bahagia. Dan saya tidak pernah ceritakan keburukan aib bekas suami kepada keluarga.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat waktu itu. Akhir sekali kami ambil keputusan untuk berpisah untuk kebaikan bersama. Selepas ia berlaku, kita dapat rasai perbezaan, dulu ada suami, seseorang untuk bersama dan tiba-tiba kita berseorangan.
“Disebabkan perceraian itulah, salah satu asbab untuk saya muhasabah diri. Alhamdulillah, untuk cari balik kenapa Allah duga saya,” jelasnya menerusi laman Instagram Zayan.
Malah jelas anak kepada Chef Wan ini, dia sedar bukan mudah untuk membimbing seorang mualaf lebih-lebih lagi dengan keadaan diri yang tidak sempurna dalam tuntutan Islam.
“Sebab kadang-kadang kita tidak sedar bila Allah turunkan rezeki yang melimpah ruah, saya cari balik, kenapa Allah ambil kembali apa yang saya sayang. Dan bila saya muhasabah diri, saya tahu ini yang terbaik Allah suratkan.
“Maknanya ada kebaikan atau rahmat yang Dia telah aturkan untuk kita pada masa akan datang.
“Saya sedar untuk menjaga Muslim, seorang mualaf bukan mudah. Kita sendiri pun kena menjadi seorang muslim yang sempurna. Dan ketika itu saya pun belum mendapat hidayah,” katanya lagi.
Ulas pelakon berusia 37 tahun ini lagi, selama ini dia lalai dalam mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan dan dugaan ini merupakan satu titik tolak dalam perubahan besar hidupnya.
“Dan ketika Allah ambil bekas suami, memang saya terduduk dan sedih. Rasa macam saya sudah banyak lupakan Allah. Dan yang paling saya sedih, apabila Allah beri bermacam-macam rezeki, kita lupa untuk bersyukur dan berterima kasih. Kalau sekadar mengucap Alhamdulillah, memang tidak cukup, Allah beri lebih daripada itu. Dan saya sedar selama ini saya lalai, saya lupa apa yang patut dibuat, sudah lama saya jauh daripadaNya. Akhirnya bila Allah tunjuk, saya nampak, Dia mahu saya kembali.
“Dan apa yang membuatkan saya lebih sedih apabila melibatkan kes penjagaan anak. Seorang ibu tiba-tiba berpisah dengan anak-anak. Hak penjagaan masih lagi berlawan di mahkamah, berebut anak. Saya sedih, anak ini anak kita bersama tapi bila berpisah kita kena berebut. Itu harta kita bersama, jadi kita jagalah bersama.
“Apabila Allah beri musibah atau tarik sesuatu nikmat, dia mahu kita muhasabah diri. Jadi janganlah bila diduga, kita memberontak, ia akan menghancurkan diri. Apabila diduga, orang selalu menyalahkan takdir. Namun saya anggap, Allah mahu pimpin saya. Allah mahu beri hidayah, bukan semua terpilih,” kata ibu kepada dua anak ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, hidayah datang dalam pelbagai bentuk dan baginya sendiri, Facebook merupakan pencetus utama. Keasyikan melayari laman sosial menemukannya dengan ceramah agama yang terus menjentik lubuk hati untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Allah akan beri hidayah melalui perkara yang kita suka. Saya suka melayari media sosial kadang kala sehingga pukul 4.00 pagi. Selalunya apabila ada ceramah agama, saya akan terus skip. Namun pada satu hari, posting di Facebook saya semuanya berkisar mengenai ceramah agama. Allah jentik hati untuk tengok sekali. Selepas tengok sekali, rasa jatuh hati dan ketagih. Jadi hari-hari say amula tengok ceramah. Dan saya terjumpa seorang guru di Facebook dan dia mengajar saya ilmu agama.
“Saya tanya dia, saya mahu berubah menjadi orang yang lebih baik. Bagaimana mahu menutup aurat yang sebetulnya,” katanya panjang lebar.
Serina sah bercerai talak satu dengan warga Britian Gavin Edward O’luanaigh pada 1 Ogos 2017.
Pasangan ini berkahwin pada 1 Januari 2010 dan dikurniakan dua orang anak, Tristan Tareef O’luanaigh, 8 tahun dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 7 tahun.
Foto : Instagram Zayan