Pelakon dan penyanyi, Wanie Kayie memberitahu bahawa dia tidak berasa sedih atau terkilan meski rata-rata peminat mengenali dirinya sebagai pelakon berbanding penyanyi.
Menurut Wanie, meski kerjaya awalnya adalah nyanyian, namun dia tetap bersyukur dengan setiap peluang yang datang.
Malah, penyanyi berusia 21 tahun ini berkata pembabitan dirinya dalam dunia lakonan juga bertujuan bagi menonjolkan kebolehan diri kepada orang ramai.
“Sejujurnya, saya bukan hanya minat menyanyi tetapi saya juga minat dalam berlakon serta mengacara. Bagaimanapun, nyanyian adalah keutamaan buat diri saya.
“Mungkin orang nampak saya lebih menonjol dalamdunia lakonan sebab pada saya bila berlakon ni kita boleh bawa pelbagai watak, jadi dari situ orang akan nampak kebolehan diri kita. Malah rezeki dalam bidang tersebut pun murah alhamdulillah.
“Bagaimanapun, saya tetap tidak melupakan karier utama saya sebagai seorang penyanyi. Kalau boleh mahu apa sahaja bidang yang saya ceburi membuahkan hasil yang baik,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya dalam nyanyian, Wanie kini yang kini di bawah naugan syarikat rakaman Rockectfuel Entertaiment hadir dengan single terbaru, ‘Jangan Terlepas Pandang’.
Bercakap ketika sidang media yang dilangsungkan secara virtual, single tersebut berkata ia sepatutnya dilancarkan Januari lalu.
Namun, pihak pengurusan syarikat rakaman terpaksa menangguhkan pelancaran lagu single terbarunya itu ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara akibat pandemik Covid-19.
Kongsi Wanie, lagu yang dihasilkan oleh komposer MFMF dan Asyraf Nasir ini berkisahkan perjalanan karier seni nyanyiannya yang sudah diceburi hampir 11 tahun.
“Konsep lagu ini sebenarnya adalah jalan cerita saya sendiri dan MFMF menulis lagu ini berkenaan dengan hidup saya. Saya meminta mereka untuk menulis sesuatu yang berkaitqn dengan perjalanan karier seni saya.
“Kenapa tajuknya Jangan Terlepas Pandang adalah kerana sepanjang 11 tahun saya dalam industri seni ini, apa yang saya boleh kata bukan mudah untuk saya mencipta nama dalam industri.
“Situasi ini berlaku dengan hadirnya bakat-bakat baru dalam industri, di situ saya nampak untuk orang mengenali nama Wanie Kayrie dengan identiti tersendiri masih belum kukuh.
“Jadi disebabkan itu saya mengeluarkan lagu Jangan Terlepas Pandang ini untuk menunjukkan bahawa Wanie Kayrie itu ada dalam industri,” katanya lagi.
Sementara itu, MFMF menjelaskan apa yang ingin disampaikan menerusi lagi ini ialah keupaayaan Wanie untuk bersinar kini.
“Apa yang kami cuba sampaikan melalui lagu ini kepada pendengar adalah sebuah kenyataan bahawasanya masa dia untuk menyinar telah tiba. Ia menceritakan tentang semangat beliau dalam menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya, serta bagaimana beliau mengatasi rintangan yang dihadapi apabila merasa tewas.
“Selain itu, mesej yang terdapat dalam lagu ini juga adalah sebagai pembakar semangat bagi setiap individu di luar sana yang ingin membuktikan diri mereka kepada semua orang bahawa mereka mampu mencapai lebih daripada apa yang disangkakan jika sentiasa bekerja keras dan tak berputus asa,”katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.