Hiburan

“Lebih Baik Jumpa Orang Sepatutnya,” – Sabri Yunus Hanya Jawab Soalan Isteri, Belum Sedia Jadi Penceramah

Share

Hikmah berkahwin dengan wanita muallaf, pelakon Sabri Yunus mendedahkan dirinya kini makin istiqomah dalam mendalami ilmu agama untuk menjadi tempat rujukan buat isterinya, Angeline Tan.

Lantaran itu, Sabri memaklumkan dirinya harus berguru dengan golongan agamawan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

“Memang wajib buat saya mendalami ilmu agama lebih-lebih lagi apabila ingin berkahwin dengan muallaf.

“Sepanjang puluhan tahun kami berkawan, saya tak berani nak bercakap mengenai Islam. Saya risau ia menjadi sensitif dan merenggangkan hubungan.

“Namun, sejak PKP lalu dan ketika kami memutuskan berkahwin, barulah saya berani bercerita tentang Islam. Sejak itu, Angeline banyak bertanya tentang agama.

“Jadi, saya kena buat rujukan. Antara tempat rujukan saya adalah adik saya sendiri yang juga merupakan ustaz,” katanya kepada MH.

Pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tuan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program terbaharu terbitan TV Alhijrah, ‘Angeline Tanya Abang Jawab’, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia harus membuat rujukan ditempat yang betul agar ilmu tersebut mudah disampaikan kepada isterinya.

“Saya juga ada membuat rujukan di Youtube. Namun, saya kena memilih yang sesuai. Terus terang saya katakan, kebanyakkan ceramah agama kita hari ini hanya sesuai untuk orang Islam dan Melayu.

“Saya perlu cari yang sesuai untuk orang bukan Melayu. Hikmahnya, saya kini jadi lebih rajin cari tahu tentang agama. Kita kena terangkan dengan dalil dan logik.

“Kita tak boleh cakap sahaja sebab Tuhan suruh. Jadi, saya kena perkenalkan kepada dia konsep ketuhanan dan amalan dalam Islam,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah dia kini bersedia untuk menjawab pertanyaan orang ramai tentang agama, Sabri berpandangan rujuklah dengan mereka yang lebih pakar.

“Saya tidak bersedia untuk menjawab kepada orang lain. Saya belum berani. Tugas saya sebagai suami adalah untuk menjawab pertanyaan isteri. Jika orang lain bertanya, lebih baik jumpa orang yang sepatutnya.

“Lagipun saya bukan ustaz. Saya tak boleh nak sembarangan bagi penerangan. Saya pun tak nak nanti orang kata saya memandai-mandai,” akhirinya.

Terdahulu, Angeline Tanya Abang Jawab merupakan sebuah program bual bicara santai yang membincang mengenai persoalan-persoalan daripada saudara baharu mengenai Islam.

Program 13 episod ini bakal mula bersiaran pada 18 September ini di saluran TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf