Pelawak dan penyampai radio, Johan mendedahkan dirinya mempunyai sebab yang tersendiri mengapa dia lebih mengutamakan komitmen kerja sebagai penyampai radio berbanding tawaran-tawaran lain.
Menurut Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, dia juga tidak mahu orang lain berasa kecewa kerana dia tidak dapat memberikan komitmen seperti yang diharapkan.
“Selepas filem Abang Long Fadil 3, saya bakal sekali lagi bergandingan dengan Zizan Razak untuk filem Baik Punya Ah Long. Itu pun sudah syukur buat saya. Selebihnya, biarlah saya mengecilkan diri di radio.
“Saya bergantung kepada tawaran sebab saya tak nak bertanggungjawab dengan komit yang saya tak boleh nak bagi,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, suami kepada pelakon, Ozlyn Wati ini turut mendedahkan dirinya memerlukan waktu rehat yang cukup untuk melaksanakan tugasnya di konti radio sebagai penyampai segmen pagi.
“Pekerjaan saya di radio, pukul empat atau lima pagi saya dah panaskan enjin. Saya perlu rehat yang cukup untuk beri tenaga ketika bekerja. Radio adalah keutamaan saya.
“Saya takut nak menjanjikan komitmen kepada orang. Selepas Isyak, saya sudah naik ke atas katil tapi belum tentu boleh tidur. Kena pusing sana sini dahulu.
“Namun, sebabkan dah terbiasa dengan rutin selama 15 tahun ini, pukul 4.30 pagi atau 5 saya dah tersedar. Jadi, kualiti tidur saya sangat penting kerana ia menentukan kualiti kerja saya,” ujarnya lagi.
Malah, Johan turut menyifatkan pekerjaannya di radio kini lebih berbaloi berbanding tawaran-tawaran lain.
“Saya bukan menolak cuma saya merasakan pekerjaan di radio ini lagi menyeronokkan dan lagi berbaloi.
“Jadi, untuk menerima tawaran berlakon filem itu agak susah sedikit tapi kalau program televisyen saya boleh pertimbangkan. Waktu menunggu pun tak lama,” akhirinya.
Terdahulu, Johan bakal bergandingan dengan hos, Ain Edruce untuk mengacarakan program berprestij, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 yang akan berlangsung Jumaat ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.