Penyanyi Liza Hanim akui tertekan dalam memenuhi ekspektasi peminat apabila dia kini bersaing dengan 15 peserta lain di program realiti, All Stars Gegar Vaganza (GV10).
Bagaimanapun, Liza tetap menghargai usaha mereka yang mengundinya sehingga terpilih menjadi salah seorang daripada enam peserta hot seats GV10.
Malah, namanya kini juga trending di platform sosial, X (Twitter).
“Saya memang ada rasa sedikit tekanan, lebih suka menjadi peserta ‘underdog’ supaya saya boleh membuat kejutan.
“Namun, bohonglah kalau saya tak rasa teruja bila membaca komen peminat yang bersungguh mahukan saya bertanding.
“Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada. Sebelum ini, saya ada juga baca komen, sehingga saya sangka diri ini sudah tidak diterima lagi.
“Namun, segalanya seakan berubah di GV10. Baru saya sedar yang tanggapan itu salah. Peminat masih menantikan diri saya. Jadi, kita kena beri apa yang mereka mahu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Gelisah Mimpi ni berkata sedemikian ketika ditemui sejurus konsert pertama GV10 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada Ahad.
Katanya lagi, dia tetap akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Tahap fizikal dan stamina ketika ini sangat berbeza ketika saya bertanding di GV4 dulu. Ketika itu, umur saya 37 tahun dan kini 44 tahun. Perbezaannya memang ketara.
“Orang bukan jangkakan saya untuk menyanyi seperti lapan tahun lepas tetapi meraka mahu saya menyanyi seperti 20 tahun lepas.
“Saya harap peminat dapat menerima saya seadanya. Saya makin berusia dan akan membuat persembahan mengikut kemampuan serta keadaan diri semasa.
“Namun, hal ini tidak membuatkan saya awal-awal mengangkat bendera putih. Saya sudah setuju nak masuk pertandingan ini dan saya kena berikan yang terbaik,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai responnya terhadap kenyataan juri tetap, Datuk Ramli MS yang mahukan para peserta menjadikan penyanyi, Naqiu sebagai penanda aras, Liza memaklumkan dirinya memandang perkara itu daripada sudut positif.
“Naqiu merupakan seorang penyanyi yang hebat. Dia ada aura tersendiri dan kehebatan membuat persembahan di atas pentas. Tak salah apa yang Datuk Ramli MS cakapkan tu.
“Tiada perasaan iri hati sebab dia lagi muda sebaliknya, saya meraikan lagi perkara seperti ini. Memang saya penyanyi senior tetapi setiap peserta punyai kehebatan sendiri.
“Ini peluang untuk saya belajar tips-tips penyanyi lain. Jika ‘KPI’ ditetapkan sebegitu, kini saya tahu apa sebenarnya yang para juri mahukan,” katanyq lagi.
Sekadar informasi, Liza dinobat naib juara GV4 selepas tewas kepada juaranya, Datuk Aishah.
Selain Liza, lima peserta hot seats lain ialah Tomok, Zamani, Suki Low, Nikki Palikat dan Ezad Lazim.
All Star Gegar Vaganza bersiaran bermula 24 September ini disaluran Astro Ria.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini